TRANFORMASI persembahan 1Malaysia yang dibawa oleh pasukan koir Universiti Limkokwing boleh dikatakan cukup hebat.
Persembahan koir seiring dengan lagu ciptaan universiti itu seperti IM4U dan 1Malaysia berjaya menggamatkan penonton sehingga lagunya juga menjadi siulan setiap lapisan masyarakat berbilang bangsa apabila ia berkumandang di corong-corong radio dan televisyen di negara ini.
Persembahan pasukan koir dan ciptaan lagu yang diilhamkan universiti itu membawa evolusi baharu dalam industri muzik tempatan dengan muzik kenegaraan sehingga ia mencetuskan fenomena luar biasa.
Lagu patriotik itu telah melonjakkan populariti Universiti Limkokwing. Lagu-lagu ini diangkat dengan cukup sinonim dan memberi impak positif terhadap dasar transformasi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga dianggap sebagai perintis lagu genre perpaduan baharu dalam mendekati setiap lapisan masyarakat berbilang kaum terutama generasi muda di negara ini.
Baru-baru ini, buat pertama kali pasukan Koir Universiti Limkokwing tampil membuat persembahan di hadapan 2,000 pengunjung sempena Festival Hari Guru 2017 (FHG 2017) anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Kemunculan pasukan koir Limkokwing itu menggamatkan FHG 2017 yang berlangsung di Padang Angsana, Johor Bahru yang turut diserikan dengan persembahan iringan daripada pasukan kebudayaan Duta Budaya Unitar International University.
Persembahan pembukaan Duta Budaya turut mengetengahkan persembahan tarian irama tradisional pelbagai kaum 1Malaysia yang bermesejkan keharmonian, perpaduan dan hormat-menghormati sehingga memukau pengunjung.
Penganjuran festival berkenaan adalah sempena pemilihan bandar raya ini sebagai lokasi sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun.
Majlis perasmian FHG 2017 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid,
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof; dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharudin Sharif.
Pada festival itu, Universiti Limkokwing turut terlibat dalam pameran pendidikan dalam meraikan jasa guru-guru dalam mendidik anak bangsa.
Bagi menjadikan acara tahunan ini sebagai medan untuk menunjukkan rasa kasih kepada golongan tersebut, pelbagai acara menarik diatur bagi mendekatkan lagi profesion perguruan dengan masyarakat.
Antara aktiviti yang diatur sepanjang festival itu termasuklah acara mewarna untuk kanak-kanak, demonstrasi masakan oleh cef selebriti, ceramah perdana oleh Datuk Kazim Elias, pertandingan nasyid.