Dengan usaha gigihnya, Ayu Jasmin dipilih menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif dalam Istiadat Konvokesyen Instedt Ke-13 di sini hari ini.

Ayu Jasmin yang menetap di Pasir Gudang berkata, ibunya, Hafizah Abd. Malek, 46, merupakan sumber inspirasi baginya memandangkan dia banyak didedahkan dengan kerjaya kejururawatan sejak kecil.

“Sejak kecil saya berminat untuk menjadi jururawat kerana suka lihat cara ibu bekerja dan kadangkala merawat ahli keluarga dan sanak saudara yang sakit.

“Sebab itulah lepas menamatkan sekolah menengah, saya tidak berfikir panjang dan mengambil jurusan kejururawatan serta akhirnya berjaya me­namatkan pengajian diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.86,” katanya ketika ditemui se­lepas istiadat konvoke­syen ber­kenaan.

Seramai 256 graduan daripada 11 jurusan menerima diploma masing-masing yang disampaikan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Instedt, Mejar Jeneral (B) Datuk Md. Ismail Ahmad Khan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Instedt (M) Sdn. Bhd., Datuk Shahrul Azila Mohd. Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Instedt (M) Sdn. Bhd., Datin Hariza Hashim dan Ketua Eksekutif Instedt, Prof. Madya Dr. Mat Jizat Abdol.

Menurut anak ke­dua daripada enam beradik itu, meskipun ibunya berhenti kerja selepas melahirkan adik bongsunya, namun dia berhasrat untuk meneruskan legasi dalam bidang kejururawatan itu dengan me­nyambung pe­ngajian di peringkat lebih tinggi.

Ayu Jasmin yang aktif dalam bidang akademik dan kokurikulum serta pernah menyertai Maj­lis Perwakilan Pelajar (MPP) di institut berkenaan kini be­kerja sebagai jururawat dewan bedah di sebuah hospital swasta di sini sejak Ogos lalu.