MoU itu merangkumi kerjasama dalam kajian undang-undang laut antarabangsa berkaitan Laut China Selatan, program pertukaran pelajar, perkongsian sumber pembelajaran mengikut bidang serta perkongsian bahan rujukan antara kedua-dua universiti.

Presiden UIAM, Tan Sri Rais Yatim berkata, satu lembaran baharu dapat diwujudkan menerusi pemeteraian MoU itu dalam jurusan akademik, penyelidikan serta kerjasama dalam bidang kerja antarabangsa.

“Kita harapkan melalui kerjasama ini, akhirnya dapat dijadikan persidangan antarabangsa bagi membincangkan tentang perairan Laut China Selatan. Ini kerana, ia harus dilihat dari sudut realiti masa depan bagaimana kuasa perairan itu dapat dijadikan sebagai penjuru penyelidikan yang boleh dihormati oleh semua pihak.

“Dalam soal ini, undang-undang laut antarabangsa perlu diteliti dengan jelas dan Kuliyyah Undang-undang UIAM akan mengambil peranan tersebut dengan menjemput dua profesor dari Universiti Hainan yang mempunyai kepakaran masing-masing.

“Menerusi persidangan yang dirancang itu juga, kita akan menjemput pelbagai pihak dari negara-negara ASEAN yang menjurus kepada pandangan akademik mengenai undang-undang di perairan itu,” jelasnya.

Majlis itu menyaksikan pemeteraian MoU antara UIAM yang diwakili Timbalan Rektor Antarabangsa, Industri dan Hubungan Komuniti, Profesor Dr. Abdel Aziz Berghout, manakala Universiti Hainan pula oleh Naib Presidennya, Profesor Dr. Guohua Fu.

Sebanyak tiga fakulti UIAM akan terlibat dalam kerjasama rintis berkenaan iaitu Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Kuliyyah Pengurusan Bahasa, serta Pusat Dunia Melayu dan Peradaban Islam.

Dalam majlis sama, Rais turut menyampaikan bantuan kewangan pendidikan Al-Safa berjumlah RM608,642 kepada 110 pelajar tempatan dan antarabangsa bagi meneruskan pembelajaran mereka di kampus berkenaan.

Selain itu, Rais berkata, UIAM akan berusaha meningkatkan kemasukan pelajar dari China ke kampus berkenaan.

“Kita sekarang mempunyai seramai 720 pelajar dari China dan negara itu juga antara kelompok pelajar antarabangsa paling ramai di UIAM.

“Hal ini sudah tentu memberikan kesan positif supaya lebih ramai yang memahami selok budaya serta agama Islam di negara ini. Hasrat inijuga akan terlaksana lebih cepat menerusi MoU yang dijalinkan,” jelasnya.