Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kempen tersebut dimulakan sejak Ogos lalu bagi memastikan sasaran pengambilan pelajar baharu KPTM seramai 3,000 orang pada bulan ini dapat dicapai.

Menurutnya, pelajar yang mencatat keputusan tujuh kepujian ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak menerima tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) manakala pelajar yang memperoleh tiga kepujian pula boleh mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidi­kan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita tahu ramai dalam kala­ngan pelajar daripada anak-anak golongan berpendapatan rendah berjaya memperoleh keputusan cemerlang, namun tercicir daripada panggilan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU), mereka inilah yang kita cari untuk melanjutkan di KPTM atau KUPTM.

“Pelajar berkenaan yang ingin melanjutkan pengajian di KPTM hanya perlu menyediakan pendahuluan bayaran yuran pendaftaran sebanyak RM250 daripada jumlah keseluruhan yang berjumlah RM1,250,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Pelajar KPTM dan Hargai Sumbangan Pelajar Dalam Sukan serta Kokurikulum di TH Hotel, di sini baru-baru ini.

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, kempen tersebut juga membuktikan KPTM komited menyahut seruan kerajaan yang mahukan setiap bumiputera melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

“KTPM terbukti mampu memberi jaminan peluang pekerjaan yang cerah kerana 73 peratus siswazah kami diterima bekerja. Malah ada antara mereka me­lanjutkan pengajian di peringkat tertinggi,” katanya.

Dalam majlis itu, Ahmad Naz­lan menyampaikan anugerah cemerlang dalam lapan kategori antaranya Anugerah Khas Permata Terbilang yang diraih pelajar KPTM Kota Bharu, Wan Nooralwanis Wan Zakaria; Anugerah Usahawan Terbaik, Mohamad Shahrul Nizam Alias (KPTM Kota Bharu) dan Anugerah Sukan Terbaik, M. Sri Durghasheni (KPTM Maran).

Jasa bekas pemain bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut dihargai dengan diumumkan sebagai Ikon Sukan KPTM.