Kemeriahan itu datang daripada ahli keluarga segenap pelosok negara, dari Sabah hingga ke Perlis. Jauh dan duit ringgit bukan halangan kerana penat lelah telah berbayar, pengorbanan mula menampakkan hasil.

Ibu bapa yang dapat jemputan dibenarkan masuk ke Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM untuk melihat anak-anak mereka menerima skrol melalui skrin, sementara keluarga yang lain menunggu di dalam khemah yang dilengkapkan dengan televisyen.

Berkongsi detik-detik manis itu, menyaksikan pelbagai ragam manusia, yang tua, muda, kanak-kanak sehinggakan bayi dalam pantang pun hadir. Pendek kata ia bagaikan satu perhimpunan keluarga yang cukup menyeronokkan di luar rumah.

Tidak cukup dengan kegembiraan para graduan dan keluarga masing-masing, suasana makin ketara dengan wujudnya aneka gerai jualan.

Antara yang paling mendapat sambutan ialah gerai menjual bunga dan cenderamata patung beruang.

Majlis konvokesyen itu penuh dengan keceriaan bagi meraikan seramai 6,500 graduan iaitu 627 orang yang menerima ijazah doktor falsafah (Phd), 1,628 ijazah sarjana serta ijazah sarjana muda (3,720), dan 525 diploma dalam majlis konvokesyen tersebut.

Pada majlis istiadat konvokesyen itu, Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan sidang pertama istiadat konvokesyen itu.

Yang turut hadir, ketiga-tiga Pro Canselor UPM iaitu Tan Sri Dr. Nayan Ariffin, Tan Sri Lim Ah Lek dan Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Selain itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali dan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris juga hadir.

Dalam istiadat majlis konvokesyen itu, Ijazah Kehormat UPM telah dikurniakan kepada Datuk Seri Tajuddin Attan dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, dan Prof. Dr. Omar M. Yaghi dari Fakulti Sains.

Sementara itu, gelaran Prof. Emeritus pula dikurniakan kepada Datin Dr. Farida Fatema dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Prof. Dr. Azimi Hamzah dan Prof. Dr. Kamariah Abu Bakar dari Fakulti Pengajian Pendidikan.

Tuanku Canselor juga berkenan mengurniakan Pingat Emas Canselor kepada Khairuddin Akmal Mohamad Kamal dari Fakulti Pertanian; Pingat Emas Diraja (Bumiputera) kepada Nurul Ain Ismail dari Fakulti Pengajian Pendidikan dan Pingat Emas Pelajaran Diraja (bukan Bumiputera) kepada Eow Shiang Yen dari Fakulti Perubatan.

Pada majlis itu turut meraikan atlet penerjun negara, Leong Mun Yee yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan mewakili 6,500 graduan memberi ucapan di hadapan Tuanku Canselor.

Sementara itu, Dr. Choo Sze Yi, 33, seorang graduan orang kurang upaya (OKU), yang mengalami kesukaran berjalan ekoran masalah gangguan otot sejak dua tahun lalu turut dianugerahkan ijazah doktor falsafah (Phd).

Sementara itu, Majlis konvokesyen itu turut dimeriahkan dengan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM dengan kerjasama Kumpulan Utusan melalui penganjuran Fun Run 5km UPM dan Pertandingan Memancing Terbuka UPM.

Dalam pertandingan Fun Run 5km UPM, hadiah wang tunai RM1,000 menjadi milik empat sahabat yang menggelarkan diri mereka sebagai GKL selepas muncul juara dalam pertandingan larian itu.

GKL menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 46 minit 10 saat, menundukkan 30 pasukan lain, sekali gus mempertahan kemenangan tahun lalu.

Sementara itu, Pertandingan Memancing Terbuka UPM pula membawa tuah kepada Pegawai Tentera, Muhammad Hafizzul Ismail, 29, apabila berjaya menaikkan ikan patin seberat 10.5 kilogram, sekali gus muncul juara.

Kejayaan tersebut membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Acara penyampaian hadiah kedua-dua pertandingan itu telah disampaikan oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Pertanian UPM, Prof. Dr. Japar Sidik Bujang dan Pengurus Tajaan F&N Berhad, Mohd. Fauzi Karim.

 

 

Pembaca dipelawa menghantar berita dan foto tentang aktiviti alumni sekolah ke ruangan Alumni Sekolah. Hantar melalui e-mel alumnisekolah.utusan@gmail.com atau alamatkan kepada: Ruangan Alumni Sekolah, Utusan Melayu (M) Berhad, No 44, Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 
Kuala Lumpur.

http://www.tutor.com.my/alumnisekolah