Dalam apa jua ilmu yang dipelajari, paling penting adalah minat, kemahuan, komitmen, usaha dan semangat. Sukar manapun, ilmu sains penting dalam kehidupan manusia.

Justeru, bagi merangsang dan memupuk minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil pendekatan mengadakan Karnival Jom Sains.

Program yang bertujuan memberi penekanan terhadap penguasaan mata pelajaran yang berpotensi menjamin masa depan dan ekonomi negara itu merupakan inisiatif Fakulti Sains UPM, Majlis Profesor Negara dan UPM STEM.

Agensi luar seperti Petrosains, Zoo Negara, Young Scientist Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) dan Malaysia Nature Society (MNS) turut menjayakan program yang disertai 60 buah sekolah rendah dan menengah.

Program bertemakan Science is Our Future itu mendapat sambutan menggalakkan. Dianggarkan lebih 6,000 pengunjung memeriahkan karnival tersebut.

Dekan Fakulti Sains UPM, Prof. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman, berkata, karnival itu merupakan platform terbaik bagi ahli akademik dan mahasiswa bertemu masyarakat, di samping merasai keseronokan ilmu sains yang dapat merangsang percambahan idea ke arah melahirkan generasi muda yang celik sains dan inovatif.

“Kajian mendapati pelajar mempunyai persepsi bahawa subjek sains sangat sukar dan membosankan. Kurang sokongan keluarga juga menyebabkan penurunan peratusan pelajar mengikuti aliran tersebut.

“Justeru, aktiviti ini amat diperlukan bagi merangsang dan memupuk minat pelajar terhadap STEM. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk bersama anak-anak menerokai aktiviti sains yang mampu mendorong kepada pilihan aliran sains,” katanya.

Tambahnya, menerusi karnival itu juga, aktiviti pengayaan ilmu dan idea baharu serta teknik pedagogi sains terkini dapat disampaikan kepada guru, sekali gus membantu sesi pembelajaran dan pengajaran agar lebih interaktif dan mengujakan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan UPM, Dr. Yap Wing Fen berkata, pengisian karnival itu berkonsepkan sains, pertandingan video sains, komunikasi sains, olimpiad, aktiviti interaktif seperti pembedahan katak dan forensik berasaskan fizik.

“Program ini mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai kesedaran sains dan tanggungjawab yang tinggi terhadap komuniti dan masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Anaz Syazreil yang juga Ketua Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains, UPM, berkata, aktiviti itu dapat menyumbang khidmat dan bakti kepada masyarakat melalui pemindahan dan transformasi ilmu.

“Penglibatan di dalam program ini memberi berpeluang kepada saya untuk menurunkan ilmu yang saya pelajari di UPM kepada pengunjung. Saya juga membantu pelajar memahami konsep sains dengan betul, seterusnya memupuk minat terhadap mata pelajaran ini,” katanya.