Menurut Pengarah PMM, Rashidah Mustapa, idea penubuhannya dicetuskan oleh pensyarah Jabatan Perdagangan PMM, Rusmaini Ramly dan menjadi satu idea inovasi yang memberi latihan secara praktikal kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diajar oleh pensyarah kepada pihak komuniti khususnya usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui cetusan idea tersebut, Model Idea Perniagaan berkonsep keusahawanan sosial telah dibina dan idea tersebut telah dipertanding dan berjaya mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Idea Perniagaan berunsur inovasi sempena Program Karnival Keusahawanan Kebangsaan Politeknik Malaysia (K3PM) pada tahun 2015.

“Penubuhan Come Consulting adalah bagi membantu PKS khususnya usahawan mikro menyelesaikan masalah pengurusan perniagaan yang dihadapi usahawan berdasarkan kajian awal yang telah dijalankan.

“Pada masa kini, Come Consulting menumpukan perhatian kepada dua jenis perkhidmatan perundingan perniagaan iaitu Perekodan dan Pelaporan Kewangan serta Pemasaran Digital menggunakan Konsep Keusahawanan Sosial,” kata Rashidah dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Penubuhan Come Consulting menepati ciri-ciri Keusahawanan Sosial iaitu penubuhannya adalah dengan matlamat untuk memaksimumkan faedah sosial kepada golongan sasar.

Oleh itu kata Rashidah, Come Consulting mengguna pakai konsep keusahawanan sosial untuk menawarkan perkhidmatan perundingan perakaunan dan perniagaan yang berkualiti, boleh dipercayai dan dengan kos yang efektif.

“Perkhidmatan yang diberi akan dicaj bergantung kepada keperluan dan kemampuan usahawan. Menerusi perkhidmatan yang diberikan, ia membolehkan usahawan mikro menyediakan perakaunan perniagaan pada masanya, menganalisis prestasi jualan dan prestasi perniagaan serta berjaya mencipta perniagaan dalam talian dan meluaskan pasaran perniagaan melalui pemasaran secara digital,” jelas beliau.

Kini, setelah dua tahun penubuhannya, Come Consulting berjaya melatih 20 perunding muda yang merupakan pelajar-pelajar diploma dalam bidang Akauntansi, Pemasaran dan Pengajian Perniagaan di PMM.

Sepanjang tempoh ini juga, Come Consulting berjaya membantu 12 usahawan PKS dan sebuah koperasi dalam pelbagai aspek seperti perakaunan, pemasaran dalam talian dan pangkalan data.

Antaranya adalah Vintage Armor, Ninety Six Ed Creative Avenue Sdn. Bhd., Bekam Best Enterprise, IBMZ Supply & Services, Afzie Enterprise, Al Mardin Food Industries, Chocolatier Zaliza dan Koperasi Sungai Terap Muar.

Selain itu menurut Rashidah, tiga perunding muda yang baru menamatkan pengajian telah bergelar usahawan dengan menubuhkan perniagaan seperti Come Consulting dan berjaya mendapatkan kepercayaan usahawan PKS yang lain bagi menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Melalui Count On Me Consulting, imej pelajar Jabatan Perdagangan PMM dapat dibina sebagai seorang perunding muda bertaraf profesional bertepatan dengan moto Count On Me Consulting iaitu ‘Your Professional Junior Manager’,” katanya.

Mereka yang menginginkan maklumat lanjut berkaitan Count On Me Consulting boleh melayari laman Facebook www.facebook.com/comeconsulting.