Hari ini, impian anak keempat daripada lima beradik itu tercapai apabila dia menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum untuk sesi Jun 2016 dalam majlis Konvokesyen PSP Ke-17.

Menurut Siti Adayu, 22, dia tidak menyangka menerima anugerah itu kerana merasakan lebih ramai penuntut yang layak dan mencatatkan keputusan baik dalam pe­periksaan.

“Memang sewaktu melangkah ke PSP, saya sudah bertekad untuk keluar sebagai pelajar cemerlang dan sepanjang mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Industri Tekstil) di sini, saya te­lah lakukan yang terbaik.

“Saya bersyukur apabila dapat anugerah ini dan berjaya mendapat keputusan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) sebanyak 3.79,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Siti Adayu yang kini meng­ikuti Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan sama di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd. Razali Hussain.

Yang turut hadir ialah Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik, Azizi Lin dan Pengarah PSP, Zulkifli Ariffin.

Tambah graduan yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, anugerah yang diterima juga adalah hadiah kepada ibu bapanya, Nasharidan Daud dan Samsina Ismail.

Sementara itu, bagi penerima anugerah sama untuk sesi Disember 2016, Muhammad Hazwan Mohd. Ariff berkata, sebagai anak sulung kepada enam beradik, dia perlu menjadi contoh kepada adik-adik­nya yang lain.

“Itulah sebabnya saya lakukan yang terbaik sepanjang mengikuti pengajian di PSP sehingga berjaya memperoleh PNGK 3.71 serta aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

“Selain memegang jawatan da­lam Majlis Perwakilan Pelajar PSP, saya juga pernah meraih Anugerah Gemilang Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Jelas Muhammad Hazwan, dia amat bertuah kerana kejayaan tersebut dikongsi bersama bapanya, Mohd. Ariff Ali yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak dan ibunya, Noor Hajar Zainal.