Sara yang me­­namatkan pe­ngajian dalam pe­ringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Reka Bentuk Profesional berkata, dia akan pulang ke negaranya itu untuk menabur bakti pada Ja­nuari depan.

‘‘Saya akan menggunakan apa yang dipelajari untuk membantu masyarakat Palestin dan tidak mustahil selepas ini saya akan menjadi Presiden wanita yang pertama,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing 2018 yang disempurnakan oleh Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom di sini hari ini.

Menurut Sara, terdapat kira-kira 400 warga Palestin yang sedang menuntut di Universiti Limkokwing ketika ini dan ba­ginya Malaysia adalah destinasi terbaik untuk menimba ilmu.

‘‘Masyarakat di Malaysia sememangnya suka membantu, sama seperti di universiti kami saling membantu walaupun berlainan budaya. Warga Palestin di sini banyak mendapat sokongan dan dorongan,’’ katanya.

Sementara itu, penerima Anu­gerah Kecemerlangan Akademik, Raja Mohamad Amin Raja Azhar berkata, dia bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Graduan Sarjana Filem dan Televisyen itu berkata, walaupun sibuk dengan projek luar, dia tidak pernah mengabaikan pelajaran dan berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.

‘‘Saya suka mendaki gunung dan ketika mendaki saya turut membuat dokumentari. Terbaharu saya berjaya menawan Gunung Fuji di Jepun dan berjaya menghasilkan dokumentari bertajuk Menggapai Awan,’’ katanya.

Universiti Limkokwing hari ini turut menganugerahkan Doktor Kehormat Kepimpinan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.