Malah, mereka per­lukan masa untuk mem­buat keputusan sama ada ingin me­nyambung pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) atau meneruskan persekolahan dengan memilih berada di Tingkatan 6.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Uniti, Dr. Syed Omar Syed Agil berkata, sebenarnya masih ramai pelajar lepasan SPM yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas tamat persekolahan.

“Mereka juga masih keliru untuk memilih bidang yang tepat untuk menyambung pengajian, malah ada yang tidak tahu universiti mana yang perlu dipilih.

“Jadi untuk memudahkan mereka, pilih bidang yang diminati dan dekat dengan hati pelajar kerana minat serta kebolehan seseorang pelajar itu berbeza-beza,” katanya.

Menurutnya, minat juga perlu disertakan dengan kelayakan. Jangan memilih sesuatu program yang diminati walaupun tidak memenuhi syarat kerana akhirnya permohonan mereka akan ditolak.

Syed Omar berkata, untuk memastikan pilihan kursus tepat dan tidak membuatkan pelajar mengganggur di masa depan, mereka perlu melihat pada pengkhususan dalam setiap bidang yang diminati untuk mengelakkan lambakan graduan da­lam bidang tersebut.

Beliau berkata, se­baik-baiknya pilih bidang yang mendapat permintaan tinggi da­ripada pihak industri.

Tambahnya, terdapat juga pelajar cemerlang yang tidak dapat membuat keputusan sama ada untuk memilih program matrikulasi ataupun asasi.

Sebenarnya kedua-dua program itu tidak ada bezanya, cuma jika memilih matrikulasi pelajar terpaksa bersaing untuk mendapat tempat di universiti. Sebalik­nya, untuk program asasi, mereka ibarat telahpun menempah tempat di universiti melainkan mereka gagal ketika berada di program asasi atau tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya, pelajar yang kurang cemerlang juga sebenarnya masih mempunyai peluang untuk me­nyambung pengajian ke IPT.

“Terdapat IPT yang memberi kelonggaran pada syarat kelayakan bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat diploma dan seterusnya ijazah cuma tempoh pengajian menjadi lebih panjang.

“Sebaiknya, jangan terlalu ke­lam-kabut untuk membuat permohonan. Selidik dahulu apa syarat-syarat yang diperlukan sebelum membuat sebarang keputusan. Hadiri ekspo anjuran mana-mana IPT untuk membolehkan pelajar bertanya lebih lanjut tentang program yang diminati,” katanya.

Katanya, Yayasan Uniti juga membantu pelajar terutama go­longan asnaf untuk membolehkan mereka menyambung pengajian ke universiti. Antaranya mengadakan program satu keluarga satu graduan dalam usaha melahirkan graduan dalam setiap keluarga golongan asnaf.

Melalui program itu akan diadakan kursus bersesuaian untuk pelajar sebelum menduduki SPM agar mendapat keputusan cemerlang seperti mengajar teknik menjawab soalan secara lebih efektif, kursus kerjaya dan motivasi.