Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Dr. D. Kamarudin D. Mudin berkata, penguasaan bidang itu oleh generasi muda bertujuan untuk memastikan Malaysia memiliki modal insan berkemahiran tinggi yang dapat membantu membangunkan negara pada depan.

Katanya, sejajar dengan kemunculan revolusi industri keempat, dunia menyaksikan kewujudan pelbagai teknologi baharu yang menggabungkan elemen fizikal, digital dan biologi serta melibatkan semua disiplin, termasuk ekonomi dan industri.

“Pada asasnya, ia mengubah kehidupan kita, cara kita bekerja dan mempunyai kaitan antara satu dengan lain. Perubahan ini akan memerlukan pengetahuan serta kemahiran baharu yang beraneka jenis, di mana pembangunan modal insan STEM yang berkaitan akan menjadi pemacu utama bagi kita untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan revolusi industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Dekan Fakulti Sains dan Sumber Asli UMS, Prof. Dr. Baba Mosta pada Program Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2018 peringkat Negeri Sabah, baru-baru ini.

Sementara itu, D. Kamarudin berkata, UMS menawarkan pendidikan tinggi dalam pelbagai disiplin termasuk sains, teknologi, kejuruteraan dan sains sosial.

“Kami berharap ia dapat membangunkan modal insan yang diperlukan negara kita dan akhirnya menghasilkan lebih banyak inovasi serta produktiviti demi manfaat masyarakat dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Menyentuh tentang NSC, beliau berkata, pertandingan itu bertujuan memupuk dan meningkatkan minat generasi muda terhadap sains, teknologi dan inovasi yang mendorong mereka mencintai bidang sains dan akhirnya memilih kerjaya dalam bidang itu.

NSC dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dan anak syarikat ExxonMobil di Malaysia, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Majlis Amanah Raya (Mara) dan The Young Scientist Network - ASM.