Lebih menarik pertandingan kali keempat itu turut menarik penyertaan 18 pelajar dari luar negara termasuk Indonesia, Singapura dan Mesir.

Timbalan Pengerusi acara tersebut, Fazidah Saad berkata, aktiviti berlangsung dua hari itu berjalan lancar dengan penyertaan 101 pelajar sekolah menengah dan 32 murid sekolah rendah dari seluruh negara.

“Peserta lain termasuk dari Kolej Komuniti (KK), universiti tempatan dan kampus UniKL di seluruh negara yang berjaya menunjuk kehebatan terbaik hingga memena­ngi pingat emas, perak dan gangsa,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pame­ran akademik yang menarik.

Anugerah terbaik Eureka kate­gori A dimenangi Azrul Erdy Zakaria dari Mara - Japan Industrial Institute, Beranang, Selangor yang berjaya dalam ciptaan Controlling Bay Barrier Parking Using Andriod Phone Via Durtooth.

Sementara anugerah terbaik Eureka kategori B pula diraih oleh Azli Ihsan Yahya dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan, Pahang yang mempertaruhkan ciptaan Groove Grinder Kit.

Anugerah terbaik Eureka kategori C dimenangi Prof. Dr. Ramesh T. Subramaniam dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur melalui ciptaan New Gen PE-DSSC: A New Generation Biopolymer Electrolytes Based Solar Cells For Energy Harvesting.

Dekan UniKL MSI, Prof Dr. Abu Talib Othman berkata, Eureka kali ini adalah yang terbaik setelah empat kali diadakan di kampus itu.

“Kejayaan kali ini berikutan penglibatan inovasi peserta luar negara dengan menghantar lima pasukan. Diharapkan pertan­dingan akan datang, ia melibatkan peserta dari seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi yang juga Pro Canselor UniKL, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika me­rasmikan pertandingan itu berkata, UniKL kini mampu menganjurkan pertandingan lain yang lebih berprestasi tinggi dan UniKL juga kini sebaris dengan universiti ternama yang lain di negara ini.