Selepas mengharungi cabaran sebagai pelajar dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, kedua-dua pelajar tersebut berasa gembira apabila menerima ijazah yang disampaikan oleh Canselor Universiti Multimedia (MMU), Tun Zaki Tun Azmi pada Majlis Konvokesyen MMU Ke-19 di Dewan Tun Canselor, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Mohd. Farhan, 28, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, salah satu cabaran tersebut ialah menghadiri kelas tanpa penterjemah bahasa isyarat dan terpaksa berkomunikasi dengan para pensyarah dan rakan-rakan melalui tulisan.

“Halangan komunikasi adalah paling mencabar, ia pernah menyebabkan keputusan peperiksaan dalam kelas merosot memandangkan saya hanya memahami sedikit input dalam kelas.

“Untuk mengatasi masalah ini, saya terpaksa berusaha dua kali ganda berbanding pelajar lain dan mendapatkan bimbingan serta bantuan daripada para pensyarah dan kawan-kawan yang memahami,” katanya.

Menurutnya, kejayaannya telah membuktikan bahawa individu cacat pendengaran mampu mencapai apa sahaja kejayaan yang boleh dicapai oleh individu normal.

“Nasihat saya kepada golongan cacat pendengaran ialah kita harus ambil apa sahaja peluang yang datang kepada kita dan jangan berasa takut atau bimbang, sebaliknya tunjukkan kemampuan kita dan kita akan dihormati dengan cara itu,” katanya.

Sementara itu, Mutharasapan, 30, berkata, ibu bapa, rakan-rakan dan para pensyarah adalah mereka yang memberi sokongan tanpa jemu hingga membantunya mencapai kejayaan.

“Ini adalah saat paling menggembirakan dalam hidup saya dan kejayaan ini amat penting untuk dijadikan teladan berguna kepada generasi cacat pendengaran,” katanya.

Bercadang untuk menerokai bidang industri teknologi maklumat (IT), Mutharasapan mencabar para pelajar kurang upaya agar cuba mencontohi kejayaannya.

“Jangan berasa takut walaupun hanya seorang pelajar sahaja cacat pendengaran, kamu boleh buktikan kamu juga boleh berjaya,” katanya lagi.

Majlis konvokesyen MMU menyaksikan seramai 3,889 graduan bidang doktor falsafah, sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Seni Cinematic, Multimedia Kreatif, Sains Hayat, Pengurusan, Perakaunan dan Undang-undang menerima sijil masing-masing.

Pada hari pertama majlis itu, MMU menganugerahkan Doktor Kehormat Pengurusan kepada Pengasas dan Pengerusi Epic Valley Holdings Group, Tan Sri Datuk Paduka Fng Ah Seng.

Majlis konvokesyen itu juga menyaksikan pelantikan Pro-Canselor MMU yang baharu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid yang diumumkan oleh Presiden MMU, Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq.