Buku yang bertajuk Batek: The Forest People of Pahang itu adalah hasil buah tangan pensyarah Akademi Pengajian Bahasa UiTM Pahang, Dr. Badli Esham Ahmad, Dr. Tengku Intan Baizura Tengku Sharif, Yusri Mohamad Noor dan Mohd. Rozaidi Ismail.

Kandungan buku tersebut mem­­babitkan penulisan mengenai metodologi sosiobudaya, bahasa, kesenian, makanan, tempat tinggal, adat perkahwinan, acara pengebumian mayat, nilai kepercayaan berunsurkan ‘animisme’ dan senario kehidupan di hutan Taman Negara Kuala Tahan.

Ketua penyelidik, Dr. Badli Esham Ahmad berkata, penulisan buku itu bermula pada 2014 melibatkan proses mengumpulkan mak­lumat termasuk gambar menerusi kajian lapangan dengan penduduk Orang Asli etnik Batek di Taman Negara Kuala Tahan.

“Penyelidikan kami tertumpu di kawasan penempatan Orang Asli Kampung Dedari, Jeram Panjang, Kampung Aur, Cangkung dan Kuala Kenyam yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling, Mukim Hulu Tembeling, daerah Jerantut.

“Kita berdepan sedikit kesukaran ketika membuat penyelidikan dan mengumpulkan gambar kerana komuniti Batek antara etnik yang pemalu dan lokek untuk memberikan maklumat mengenai kehidupan mereka,” katanya selepas pelancaran buku Batek: The Forest People of Pahang di Han Rainforest Resort, Taman Negara Kuala Tahan di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Omar bersempena perasmian Projek Pembaikan Stesen Penyelidikan Step-UP Kuala Kenyam menerusi kerjasama antara UiTM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Yang hadir sama, Penolong Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Profesor Dr. Hadariah Bahron; Rektor UiTM Pahang, Profesor Dr. Mohd. Nazip Suratman dan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Menurut Dr. Badli Esham, selain faktor geografi kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman antara cabaran dalam menghasilkan buku itu ialah memahami bahasa Orang Asli berkenaan.

Katanya, untuk itu mereka terpaksa mendapatkan khidmat beberapa penduduk Melayu di Kampung Pagi dan Jeram Panjang yang merupakan kenalan rapat Orang Asli yang memahami bahasa Orang Asli bagi memudahkan pengumpulan maklumat dan gambar.

Dalam pada itu, Dr. Tengku Intan Baizura yang mengkhususkan kajian bahasa Batek berkata, kosa kata suku Batek amat terhad dan sudah banyak diasimilasikan dengan perkataan bahasa Melayu, misalnya aspek pengimbuhan bagi menjelaskan makna se­suatu perkara dalam perbualan.

“Setelah gigih dan tanpa menge­nal jemu selama empat tahun, saya dan rakan berjaya mengumpulkan maklumat hasil penyelidikan bahasa Batek antara pengisian bidang pengajian pasca siswazah saya ia­itu Doktor Falsafah (PhD) di sebuah universiti tempatan,” ujarnya.