Jatuhan pin bukan segala-galanya. Boling membuatkan pemain menjadi lebih fokus, yakin dan jitu pada matlamat yang ingin dicapai. Simbolik pencapaian tersebut mungkin boleh dilihat daripada jumlah jatuhan pin itu sendiri.

Maka boling antara sukan terbaik yang boleh menjadi pilihan pelajar untuk memberikan mereka kekuatan fizikal dan minda bagi menjalankan tanggungjawab secara keseluruhan.

Menyedari hakikat itu, lebih 50 peserta menyertai pertandingan boling anjuran penuntut semester akhir Sijil Pengendalian Acara (SPA) Kolej Komuniti Pasir Salak, Perak pada 4 Februari lepas.

Acara yang berlangsung di Ampang Superbowl Seri Iskandar, Perak itu menawarkan hadiah wang tunai RM400 untuk tempat pertama dan masing-masing RM300 dan RM200 untuk pemenang tempat kedua dan ketiga.

Ketua Projek, Nik Isyraf Khan Nik Mansor berkata, boling dipilih sebagai sukan untuk projek pelajar ini kerana ia merupakan satu sukan yang mementingkan ketelitian, fokus, teknik dan kemahiran yang baik.

“Sukan ini perlukan penelitian dan boleh saya katakan bahawa sukan ini lebih menggunakan minda dan fizikal.

“Sukan tersebut membantu peserta agar lebih fokus dalam urusan lain. Malah ia membantu dari segi kecerdasan dalam pelajaran,” katanya.

Tambahnya lagi, dia bersama beberapa penuntut lain ditugaskan menganjurkan pertandingan boling terbuka untuk orang awam bagi sebagai pendedahan awal bagaimana mengendalikan sesuatu acara.

Menurutnya, modul akhir itu perlu dilaksanakan bagi mengukur kemampuan penuntut bagaimana hendak mengendalikan sesebuah program sebelum menamatkan pengajian.

“Bukan mudah untuk penuntut seperti kami melakukannya dari mula hingga akhir, namun atas tunjuk ajar pensyarah kami berjaya lakukannya.

“Bermula dengan membuat kertas kerja, menempah pusat boling, mencari penaja, menempah baju-T, mencari hadiah, menyediakan pengangkutan, melakukan promosi, mencari peserta, semua ini pengalaman yang sangat berguna untuk kami,” katanya.

Tambahnya lagi, selain orang awam, pertandingan tersebut turut mendapat sambutan daripada penuntut-penuntut universiti dan kolej awam yang terdapat di sekitar Seri Iskandar.

Menurutnya lagi, keupayaan menjayakan pertandingan boling tersebut menyuntik semangat baharu kepada mereka untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

“Barulah kami faham bagaimana caranya untuk bekerja dalam satu pasukan dan betapa perlunya ada titik persefahaman supaya setiap tindakan dapat menghasilkan impak yang memuaskan.

“Syarikat perundingan Remy Lily Entreprise juga banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar, tanpa bantuan mereka mungkin sukar untuk kami menjayakannya,” katanya.