Biasiswa daripada tajaan Yayasan Limkokwing itu terbuka kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan SPM yang cemerlang dalam akademik dan aktiviti kokurikulum.

Presiden Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Dr. Tan Sri Lim Kok Wing berkata, selain tumpuan kepada kecemerlangan akademik, Yayasan Limkokwing itu akan menitikberatkan aspek kemampuan berkomunikasi dan berfikir serta aktif bersukan bagi memastikan pelajar terpilih lebih bersedia dalam alam universiti.

“Yayasan Limkokwing menyasarkan ramai pelajar pintar bumiputera, namun tidak berpeluang menggarap potensi dalam bidang akademik disebabkan wujudnya kekangan persekitaran seperti kemiskinan dan tiada akses kepada kemudahan pembelajaran.

“Dengan adanya biasiswa ini, Yayasan Limkokwing bertekad memastikan kesulitan hidup tidak menjadi penghalang bagi anak-anak Bumiputera khususnya untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Kok Wing berkata, pendidikan amat penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat ke arah membasmi kemiskinan selain mampu menjamin masa depan yang lebih cerah.

Katanya, penubuhan Yayasan Limkokwing itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat universiti dalam membantu memartabatkan pendidikan akademik rakyat Malaysia ke peringkat tertinggi.

“Universiti Limkokwing yakin program ini akan berjaya mewujudkan pelajar yang berpotensi menjadi tenaga kerja mahir dan berkualiti tinggi,” katanya.

Kok Wing menjelaskan, Yayasan Limkokwing turut berharap pelajar yang terpilih memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan bagi memastikan mereka menjadi tenaga kerja berkualiti.

“Biasiswa ini diberikan untuk pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di Universiti Limkokwing bagi kemasukan April ini,” katanya.

Mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian di www.limkokwing.net/malaysia atau menghubungi talian 03-83178888.