Ketua Eksekutifnya, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, jalinan pendidikan yang dijalankan oleh Mediu menyediakan kemudahan-kemudahan pelajar menuntut ilmu tanpa perlu berada di kuliah.

Menurutnya, pelajar bukan sekadar dapat berkomunikasi dengan pensyarah malah boleh menyelesaikan tugasan melalui konsep universiti maya.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2006, Mediu telah membangunkan Sistem Pengurusan Kampus (CMS) sendiri yang memudahkan pelajar dan pensyarah menggunakan akses tersebut bagi komunikasi secara langsung.

“Sistem CMS bukan sahaja membantu pelajar dan pensyarah tetapi ia juga membantu universiti untuk memudahkan kerja-kerja yang melibatkan rekod kemasukan pelajar dan akademik, pengurusan jadual kursus yang ditawarkan serta pendaftaran kursus bagi setiap semester.

“Ia juga melibatkan pengurusan kalendar akademik dan kewangan,” katanya.

Menurut Ismawi, pelbagai kemudahan moden disediakan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang tidak sahaja kondusif, tetapi dalam suasana arena siber dan hanya memerlukan sentuhan tangan dan jari sahaja di Mediu.

“Penggunaan Sistem Advance Learning i-Management (ALIM) misalnya, adalah satu sistem yang memberi satu pengalaman yang menarik kepada pensyarah dan pelajar untuk mengakses bahan-bahan bacaan dan kajian secara terus daripada portal-portal yang disediakan Mediu.

“ALIM menyediakan platform untuk berkongsi bahan-bahan pembelajaran yang digunakan di dalam kelas dan ia begitu menjadi amalan di Mediu,”katanya.

Apabila kaedah pembelajaran adalah tanpa sempadan di Mediu, para pelajar kata Ismawi, boleh berinteraksi dengan pensyarah melalui kaedah pengajian secara kelas maya atau virtual classroon yang memudahkan mereka berinteraksi secara terus.

“Pensyarah boleh berinteraksi dengan pelajar menggunakan Sistem Wiziq yang membolehkan pensyarah menulis dan melukis secara maya di whiteboard dan diakses oleh pelajar yang mengikuti kelas tersebut. Pensyarah juga boleh memaparkan bahan-bahan pembelajaran secara maya,” katanya.

Konsep baharu

Ismawi menjelaskan, Di Mediu para pelajar akan mengikuti pengajian hampir sepenuhnya secara maya atau dalam talian dan kaedah e-perkhidmatan atau e-pembelajaran (e-learning) ini adalah konsep baharu dalam kehidupan pelajar yang mesti mereka penuhi.

“Mediu akan menyediakan segala kemudahan dan kelengkapan pembelajaran yang terkini, di samping kepakaran tenaga akademik yang sentiasa mengutamakan kerja secara berpasukan.

“Bahan pembelajaran yang disediakan dalam bentuk multimedia juga amat mudah diakses pelajar. Setiap topik, mengandungi isi-isi pembelajaran dan disampaikan dengan menggunakan teknik multimedia.

“Pada setiap akhir latihan kursus pengukuhan disediakan untuk membantu pelajar agar lebih memahami topik yang telah dipelajari,” katanya.

Dalam pada itu, Ismawi berkata, kursus pengajian universiti itu adalah berasaskan sains Islam sepenuhnya selaras dengan tujuan penubuhannya untuk memartabatkan Islam sebagai asas pendidikan utama.

“Para pelajar di sini berpeluang menuntut ilmu daripada pensyarah yang didatangkan khas dari Madinah untuk memberi pendedahan ilmu agama dari Tanah Suci itu,” katanya.

Menurut Ismawi, universiti itu kini menawarkan program Pengajian Asasi Sains Islam dan Bahasa Arab percuma selama satu tahun bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk kemasukan bulan April ini.

“Kami menawarkan program ini secara percuma bagi memberi peluang kepada anak-anak tempatan khususnya dalam aliran agama atau berdasarkan kelayakan akademik yang ditetapkan untuk menyambung pengajian mereka pada peringkat yang lebih tinggi.

“Mereka akan dikecualikan daripada yuran pengajian bagi program tersebut,” katanya.