Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, bayi itu ditemukan pada pukul 6.45 petang oleh penduduk Rancangan Tanah Felda Chiku 1 di kawasan tempat wuduk.

Katanya, ketika ingin mengambil wuduk, saksi terlihat plastik hijau bergerak dan terkejut melihat di dalamnya seorang bayi.

“Penduduk yang terkejut itu kemudian membawa masuk bayi ke dalam masjid.

“Bayi itu dibawa ke Klinik Chiku 1 sebelum di rujuk ke Hospital Kuala Krai bagi mendapat rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi itu baru ditinggalkan kerana tidak menangis ketika ditemukan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang mengesan suspek yang meletakkan bayi itu di dalam masjid,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jajahan, Hizani Ibrahim berkata, bayi yang sedang dirawat di Hospital Kuala Krai itu masih belum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Keadaan bayi tersebut sihat dan selamat. Kita akan mengambil alih menjaga bayi berkenaan apabila rawatan oleh pihak hospital selesai.

“Kita juga akan menghantarnya ke Rumah Kanak-Kanak JKM di Kota Bharu,” katanya. - UTUSAN ONLINE