Pengerusi YBR, Datuk Abdul Rahman Kasim berkata, pembia­yaan YBR untuk Siri Jelajah 2017 bakal memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tercicir daripada mendapat pendidikan di peringkat tinggi akibat kekangan kewangan untuk mengubah kehidupan dengan melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Semua pihak harus me­numpukan usaha bagi membuka pe­luang pendidikan yang sama rata kerana saya pasti semua pelajar yang berkemampuan dan tidak berkemampuan mempu­nyai semangat untuk menggapai kejayaan dalam bidang pendidikan dan mampu mencorak masa depan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran JPB 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Majlis Daerah Bera, Bandar Bera, Pahang, baru-baru ini.

Peruntukan RM3 juta ini meru­pakan bantuan awal pengajian agar 2,000 pelajar sasaran yang kurang berkemampuan yang te­lah mendapat tawaran tempat di IPT dapat dibantu dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1,500 bagi setiap pelajar.

Agihan akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu RM300 selepas menerima tawaran sebelum kelas bermula, kemudian lagi RM300 pada bulan pertama setelah pendaftaran manakala baki RM900 pula diserahkan pada bulan kedua.

YBR sentiasa menyokong serta meneruskan program yang bersifat holistik dalam membantu menjana pembelajaran dan pendidikan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

JPB adalah kesinambungan Program Destini Anak Bangsa yang menyasarkan untuk membantu dan mengenal pasti 200,000 pelajar lepasan sekolah agar dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Masih mengekalkan matlamat dan objektif yang sama, JPB se­perti Program Destini Anak Bangsa yang sudah bertapak di Universiti Teknologi Mara sejak tahun 2012, iaitu untuk membantu golongan kurang berkemam­puan melanjutkan pelajaran ke IPT.