Melalui sumber manusia berkualiti yang menjadi nadi penggerak kepada kemajuan universiti, berserta program dan sistem akademik yang berteraskan kehendak pasaran dan perkembangan global, agenda negara pasti berjaya memacu kecemerlangan.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini, 100 pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor yang diketuai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajarnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Arshad menganjurkan Program Jurutera Masuk Desa di Kampung Jeram Hulu, Tepoh, Kuala Nerus, Terengganu.

Program tujuh hari enam malam itu merupakan anjuran Persatuan Kejuruteraan Awam (Perka) UiTM dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Jeram Hulu, Tepoh.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Koordinator Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail yang turut dihadiri Dekan FKA, Prof. Dr. Zakiah Ahmad dan Rektor UiTM Terengganu, Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi; Pengerusi J3K Jeram Hulu, Tepoh, Mustapha Ismail; dan Penghulu Mukim Tepoh, Mohd. Razali Ismail.

Sepanjang program itu, kumpulan pelajar dan pensyarah UiTM terlibat dalam khidmat masyarakat bersama-sama penduduk kampung serta tinggal dengan keluarga angkat.

Pelbagai program diatur seperti ceramah berkaitan akademik, kerjaya, forum dan motivasi.

Selain itu, diadakan juga gotong-royong mengecat serta membersihkan kawasan masjid dan surau, pertandingan mewarna dan sukaneka untuk kanak-kanak, pertandingan futsal, sukan rakyat, pertandingan memasak serta gubahan bagi wanita dan program saringan pemeriksaan kesihatan.

Pengarah programnya, Muhamad Fahmi Arjunaidi berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar mengenali adat dan budaya masyarakat kampung selain memberi pendedahan tentang peranan fakulti kejuruteraan melalui pameran yang berkaitan dengan teknologi kejuruteraan yang dijalankan oleh UiTM sepanjang tempoh program berlangsung.

“Program ini juga bertujuan mewujudkan kesedaran perubahan ke arah gaya hidup pembangunan infrastruktur kemudahan awam yang perlu dilaksanakan di kampung, di samping memperkasa peranan pelajar UiTM dalam memberi sumbangan kepada masyarakat di luar bandar apabila menamatkan pengajian nanti.

“Di samping itu, pelajar juga berpeluang menyumbang bakti kepada masyarakat, merasai pengalaman di kampung dan pada masa sama, meningkatkan keyakinan serta motivasi diri,” katanya.

Sementara itu, Basir berkata, program itu adalah antara usaha ke arah memperkasa peranan pelajar kejuruteraan awam UiTM kepada masyarakat luar dengan meninjau sendiri situasi dan masalah infrastruktur kemudahan yang dihidapi penduduk kampung.

“Menerusi program ini ia dapat memberi pendedahan kepada bakal-bakal jurutera dalam berinteraksi dengan masyarakat kampung.

“Dengan cara ini, ia memberi inspirasi kepada mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk luar bandar dalam menjana kemudahan yang terbaik.

“Bukan itu sahaja, program ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan, gambaran dan kesedaran terhadap cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi apabila bergelar jurutera suatu hari nanti,” jelasnya.