Itu yang berlaku kepada penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nurul Atiqah Mohd Aidi atau Ika yang dahulunya seorang pemalu, tetapi kini berani dan yakin beraksi dalam pementasan teater.

-
-

Minat dalam teater bermula apabila dia menyertai pertandingan drama Inggeris sewaktu di bangku sekolah hanya sekadar mencuba dan mencari pengalaman baru.

Namun, Ika tidak menyangka pembabitan awalnya itu akhirnya berjaya membuatnya terpilih mewakili sekolah ke peringkat daerah dalam persembahan teater.

Sejak itu mula timbul minat untuk mendalami bidang teater dan tarian bersama guru seni dan kebudayaannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jasmine 2, Kajang, Selangor.

Minatnya yang mendalam dalam teater membuatkan Ika tidak melepaskan peluang untuk menonton persembahan di Istana Budaya seperti teater Mahsuri, Mana Setangginya, Badai Semalam, Menggamit Kenangan 60’ an dan Natrah.

Menurut Ika, dia terlibat dalam persembahan teater sejak di bangku sekolah lagi apabila terpilih menjadi kru produksi teater Forest yang terdiri daripada kanak kanak autisme.

Katanya, teater itu berjaya menjulang namanya dalam kalangan peminat teater dalam dan luar negara dan diiktiraf Malaysia Book of Records.

“Saya amat beruntung kerana terpilih untuk menjayakan persembahan teater ini. Kerjasama daripada rakan dan guru ketika itu mendorong saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni ini.

“Alhamdulillah walaupun saya aktif dalam teater di sekolah, tetapi saya mampu membahagikan masa dalam pelajaran sehingga berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UMP.

“Saya beranggapan bahawa minat saya dalam seni teater mungkin akan terkubur di UMP kerana ingin memberi tumpuan dalam pelajaran, namun minat itu terus mengajak saya terlibat dengan Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP.

“Di sekretariat ini saya mula berjinak-jinak dalam Kumpulan Teater Senandika dan akhirnya bakat saya dikembangkan melalui teater Taubat. “Seterusnya saya terpilih bagi sebuah pementasan kerjasama bersama Waris Theater Production, SKK dalam teater DORM 12,”ujarnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang begitu meminati bidang pementasan teater ini pernah dianugerahkan Pelakon Wanita Harapan pada 2016 dan mendapat Anugerah Persembahan Terbaik (Dorm 12) oleh Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP.

Ika pernah menyertai Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan Peringkat Zon Pahang anjuran Jabatan Penerangan dan mendapat tempat keempat.

Mengulas lanjut, pada 2017 dia terpilih menyertai Festival Teater Pahang (FTP) dengan membawa naskhah ‘Asrama-RA’ karya Khairunazwan arahan sahabat, Fendi Shah.

“Dalam FTP, pasukan UMP berjaya mendapat kelayakan enam kumpulan teater terbaik Malaysia yang layak ke peringkat akhir dan naib juara dalam Festival Teater Malaysia 2018.

“Dengan kemenangan itu saya terus diberi amanah oleh universiti untuk menerajui beberapa pementasan dalaman UMP seperti teater Selamat Tinggal Bunga Ku, Rumah Lama Kampung Baru, Penglipur dan lain-lain,”ujarnya.

Ika yang bercita-cita menjadi seorang jurutera berharap masyarakat dapat menghargai seni itu kerana teater akan membentuk jiwa manusia yang lebih berkualiti.

“Seni teater harus dipertahankan dan tidak dipinggirkan oleh arus pembangunan teknologi terkini.

“Saya berharap agar pencinta-pencinta teater dapat berjuang dan meneruskan minat mereka dalam bidang ini agar dapat terus diwarisi generasi pada masa depan,” katanya.