Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, biasiswa itu selain bagi meringankan beban kewangan pelajar terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke negara itu, ia turut membuktikan hubungan erat sedia ada antara kedua-dua negara.

“Biasiswa tersebut merangkumi pembiayaan insurans perubatan, perumahan, tiket penerbangan pergi dan balik setiap tahun dan elaun bulanan.

“Pemberian biasiswa ini memberi peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi berikutan kos pengajian dan sara hidup yang tinggi di sana,” katanya pada majlis minum petang bagi meraikan 1,300 pelajar Arab Saudi yang melanjutkan pelajaran di negara ini, baru-baru ini,

Yang turut hadir, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussin Qattan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), Datuk Prof. Dr. Rujhan Mustafa.

Majlis minum petang itu merupakan anjuran EMGS, agensi milik Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan kerjasama Kedutaan Arab Saudi.

Terdahulu, Idris menyampaikan sijil kecemerlangan kepada 25 pelajar Arab Saudi yang meneruskan pengajian di Malaysia.

Tambah Idris, pemberian biasiswa kerajaan Arab Saudi itu meliputi pelajar Malaysia yang ingin mengikuti pengajian peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) untuk semua jurusan pengajian.

Selain itu, Idris berkata, Malaysia turut menjadi pilihan pelajar Arab Saudi untuk melanjutkan pengajian apabila lima institusi pengajian tinggi negara ini kini tersenarai dalam lapan IPT terbaik di ASEAN.

“Malaysia berada di tangga ke 12 bagi destinasi pendidikan pilihan (UNESCO).

“Dan berdasarkan laporan QS Best Student Cities Survey 2017, Kuala Lumpur telah tersenarai selama tiga tahun berturut-turut sebagai bandar raya paling murah untuk didiami dalam kalangan pelajar antarabangsa.

“Sudah terbukti, pendidikan kita mempunyai banyak kelebihan yang boleh ditawarkan kepada warga Arab Saudi,” katanya.

Pada masa ini, terdapat 1,300 pelajar Arab Saudi yang berdaftar menuntut di universiti awam Malaysia.

Sementara itu, Mahmoud Hussin Qattan berharap awaran biasiswa kepada pelajar Malaysia itu dapat mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kita menawarkan biasiswa untuk semua bidang pengajian di institusi pengajian awam di Arab Saudi kecuali jurusan perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Rujhan Mustafa berkata, pada tahun ini, EMGS akan mempergiat usaha dalam menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.

Katanya, dengan adanya program-program ini, EMGS dapat mengenal pasti pelajar yang berpotensi di setiap negeri untuk menerima biasiswa tajaan Arab Saudi ini.

“Untuk program ini, EMGS akan menguruskan segala hal-hal yang berkaitan termasuk membantu pelajar bagi memohon pengeluaran visa dalam tempoh 14 hari bekerja,” katanya.