Demikian dirasakan anak seorang peniaga, Mohammad Noor Sarullhakim Samzuki, 26, yang bukan sahaja berjaya menggenggam segulung diploma namun menerima tiga anugerah khas yang menjadi idaman rakan se­per­juangan iaitu Anugerah Kecemerlangan Jabatan dan Anugerah Yayasan Pahang selain Anugerah Pengarah Politeknik.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, perasaan gembira yang sukar digambarkan apabila melihat bapanya, Samzuki Mohamad, 58, serta ibu, Fauziah Che Omar, 44, tersenyum bangga meraikan kejayaannya pada hari ini.

“Ini kali kedua saya lihat se­nyuman mereka yang amat bermakna bagi saya selepas kali pertama saya menaiki pentas menerima Anugerah Dekan di Kolej Komuniti Kuantan pada 2013.

“Saya harap anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus cemerlang pada masa akan datang,” kata pemegang Diploma Senibina itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dia merupakan antara 1,866 graduan Polisas yang menerima diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Polisas Ke-39 yang berlangsung dua hari ber­akhir esok.

Sidang pertama majlis disempurnakan oleh Ketua Kumpulan (Tadbir Urus Korporat dan Ekosistem Perniagaan) QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Faris Yahaya manakala sidang kedua esok dijadualkan oleh Timbalan Presiden CILT Malaysia, The Charted Institute of Logistics and Transport Malaysia, Ramli Amir.

Yang turut hadir ialah Pengarah Polisas, Norlida Abd. Razak.

Mohammad Noor Sarullhakim yang juga anggota askar wataniah berkata, susah dan payah bapanya mengusahakan kedai makanan untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga menjadi inspirasi buatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Kejayaan ini juga merupakan satu impian selama ini kerana saya sememangnya bertekad mahu membuatkan mereka gembira dan menjadi sejarah dalam keluarga,” ujarnya.