Malah sebuah lagi pasukan dari Adtec Melaka berjaya menjadi naib johan dalam pertan­dingan yang disertai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik serta institut latihan perindustrian itu.

Jurulatihnya, Mohd. Ekhwan Rahim berkata, tahun ini merupakan kali ketiga pasukannya me­nyertai pertandingan tersebut.

“Kali pertama kami kurang bernasib baik, tiada nombor yang berjaya kami bawa pulang. Kali kedua pula kami bergelar naib johan.

“Pelajar-pelajar yang membina robot tempur ini merupakan mereka yang mengambil jurusan Diploma Kemahiran Mekatronik. Dari segi pembangunan robot ini secara keseluruhan adalah hasil kerja mereka (pelajar), jurulatih hanya memantau pelan rekaan awal dan memeriksa produk akhir sahaja,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan tersebut, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahya dan Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun.

Pertandingan Robot Tempur Malaysia merupakan edisi kali ketiga untuk tahun ini dan ia merupakan sebahagian inisiatif MOSTI untuk memperluaskan program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, masyarakat hari ini sudah mula memberikan lebih perhatian terhadap STI kerana dilihat mempunyai jaminan kerjaya pada masa depan.

“Hal ini dapat dibuktikan me­lalui pertandingan hari ini. Berbanding edisi sebelumnya, mutu robot yang bertempur makin dahsyat. Kepakaran mereka (peserta) makin tinggi dalam industri robotik dan sangat membanggakan kita sebagai rakyat Malaysia.

“Bidang ini dijangka memerlukan kepakaran dan tenaga kerja tempatan. Yang menang hari ini merupakan mereka yang datang dari institusi kemahiran. Perkara ini membuktikan kementerian mampu mengeluarkan tenaga pakar dalam bidang ini,” ujarnya.