Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, UMP dilantik sebagai universiti fokal hasil rundingan kerajaan dengan Malaysia Rail Link (MRL) dan sebuah syarikat dari China, China Communications Construction (CCCC) bagi menjayakan ECRL yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Pengambilan pertama itu yang terdiri daripada 21 graduan diploma dan 29 sarjana muda da­lam bidang kejuruteraan awam, mekanikal serta elektrik bagi memberi latihan selama tiga bulan.

“Selepas tamat latihan, mereka berpeluang bekerja dengan MRL, CCCC atau subkontraktor syarikat berkenaan dalam bidang pembinaan, operasi dan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Pengambilan Pertama Pelatih PLKI-ECRL di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak dan Pe­ngarah Urusan CCCC, Bai Yinzhan.

Idris berharap kumpulan bagi suku pertama 2018 itu dapat menyumbang ke arah pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Kata beliau, rogram PLKI-ECRL berkenaan melibatkan seramai 3,600 pelatih dalam tempoh lima tahun dengan memberi peluang dalam kalangan pemegang ijazah dan diploma bagi kursus kejuruteraan.

“Proses pemilihan sedang di­ja­­lankan melibatkan seramai 300 orang pada 2017, 400 orang (2018), 1,200 orang (2019), 700 orang (2020), 500 orang masing-masing pada 2021 dan 2022. Pembinaan tamat pada 2023 dan beroperasi pada tahun berikutnya,” ujarnya.

Beliau berkata, UMP turut membangunkan silibus dengan mendapat kerjasama Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Southwest Jiaotong University (SWJU).

“Pada masa ini, UMP melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal memperkenalkan kursus elektik berkaitan Teknologi Rel yang akan ditawarkan semester ini,” katanya.