Daripada jumlah itu, seramai 162 penerima akan menyambung pengajian di luar negara manakala seramai 168 penerima pula melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, sejak dilaksanakan 43 tahun lalu, program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 36,000 penerima.

Katanya, sehingga kini Petronas telah membelanjakan kira-kira RM3.2 bilion untuk biasiswa kepada pelajar bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang.

“Di Petronas, kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan dapat memastikan kelestarian bekalan tenaga kerja yang terpelajar dan berkemahiran tinggi.

“Oleh itu, kami di Petronas berazam untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan yang mampu menjadi pemangkin kepada industri dan keperluan negara pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Maj­lis Penganugerahan PESP kepada 210 penerima di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini baru-baru ini.

Penyerahan tajaan tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman.

Pada majlis berkenaan, seramai 210 penerima menerima biasiswa masing-masing manakala selebihnya disampaikan dalam majlis yang diadakan Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu.

Menurut Wan Zulkiflee, pada tahun ini, pihaknya menerima kira-kira 8,000 permohonan untuk PESP dan daripada jumlah itu seramai 1,450 telah disenarai pendek untuk menghadiri Petronas YoungStars Day (PYD).

Katanya, di bawah PESP, pene­rima biasiswa akan melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah dalam bidang berkaitan sama ada di UTP atau universiti luar negara seperti di Australia, New Zealand, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.