Pengarah program, Mohd. Hakim Azman berkata, program itu bertujuan mengasah bakat pelajar dalam pengendalian program dan mengenali serta mempelajari dengan lebih dekat kehidupan masyarakat kaum Temiar.

Menurutnya, antara program yang diadakan termasuk ceramah agama dan pertunjukan silap mata oleh wakil pelajar serta aktiviti santai bersama penduduk di kampung berkenaan.

Katanya, aktiviti bersama pelajar turut diadakan iaitu lipatan origami bersama 30 kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Cheneih.

“Pelajar PUO juga menyi­apkan lukisan di rumah sewang, menyer­tai sukaneka, gotong-royong membina pintu gerbang serta membersihkan surau, rumah sewang dan seluruh kawasan kampung.

“Bagi pelajar perempuan pula, mereka turut diajar menganyam seludang yang biasanya dipakaikan kepada tetamu yang datang berkunjung dan pelajar lelaki pula, mereka diajar cara-cara menyumpit,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Shahzuan Amiruddin berkata, pengalaman bersama kaum Temiar sangat berharga dan memberi persepsi baharu kepada peserta yang kebanyakannya tinggal di bandar.

“Kami juga sempat berkongsi hasil seni bina warisan kepada golongan remaja di kampung ini melalui pameran lukisan rumah sewang dan berharap ia dapat memupuk minat mereka dalam bidang seni bina,” katanya.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Kajang, Abdullah Ngah berkata, ini adalah kali pertama mereka menerima kunjungan pelajar PUO yang menjalankan program kemasyarakatan di Kampung Kajang.