Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Canselor UMP antara senarai penerima yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan.

“Penganugerahan itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap ketokohan, kewibawaan serta kepemimpinan baginda dalam pemerintahan, memajukan rakyat dan pembangunan sukan selama ini.

“Selain baginda, seramai 58 penerima merupakan graduan kedoktoran, 211 (sarjana), 181 (sarjana eksekutif), 1,762 (sarjana muda), 34 (dwiijazah), 241 (diploma) dan 315 graduan diploma eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Daing Nasir, jumlah tersebut melibatkan graduan dari sembilan fakulti dan dua pusat pengajian.

Katanya, seramai 73 orang merupakan graduan dari luar negara termasuk Yemen, India, Libya, Iraq, Sudan dan Kanada.

“Lebih membanggakan, seramai 20 graduan dwiijazah bakal menerima dua ijazah serentak setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik dan buat pertama kali melibatkan program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif hasil program kerjasama UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman,” ujarnya.

Selain itu kata beliau, hasil kerjasama UMP dan German-Malaysia Institute (GMI) menerusi program kerjasama akademik (pesisir) turut menyaksikan seramai 53 graduan sulung program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan mena­matkan pengajian.

Sementara itu menurut beliau, seramai 23 graduan juga menerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik serta kokurikulum.

Antaranya katanya ialah Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Emas Universiti, Kecemerlangan Yayasan Pahang, Kecemerlangan Profesor Datuk Dr. Mashitah Mohd. Yusoff dan Srikandi Matahari.

“Dua anugerah yang baharu diperkenalkan kali ini ialah Kecemerlangan Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat sumbangan UMP Advanced Education dan Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita sumbangan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita),” katanya.