Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, Utem juga turut menerima kehadiran sejumlah 580 pelajar peringkat Diploma yang berdaftar sejak Jun lalu dan 136 pelajar `kemasukan terus’ kemasukan Februari yang dikumpulkan dalam program Minggu Haluan Siswa pelajar Utem selama lima hari mulai hari ini.

Menurut beliau, kesemua pelajar terbabit bakal mengikuti pengajian di tujuh fakulti yang ditawarkan iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

“Selepas ditubuhkan lebih 16 tahun, Utem telah memainkan peranan penting dalam melahirkan insan cemerlang dan seimbang dalam segenap aspek yang amat diperlukan oleh negara pada masa hadapan.

“Untuk itu, Utem bertekad untuk terus menunaikan tanggungjawab melahirkan graduan yang berkualiti, memenuhi aspirasi negara khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Haluan Siswa Utem sesi 2017/2018 di Dewan Besar universiti teknikal itu di sini sebentar tadi.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Rawi Mahmud. - UTUSAN ONLINE