Mereka yang berjaya mena­matkan latihan tersebut telah me­nerima surat pelantikan yang di­­sampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohammad Fuzi Harun.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya berasa sangat beruntung apabila diberi peluang untuk menjadi tuan rumah buat julung kalinya dalam majlis penuh istiadat itu.

“Saya percaya pegawai sukarelawan polis ini akan menjadi individu berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi nanti dan te­rus membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekalkan keamanan negara.

“Setiap institusi pendidikan tinggi di negara kita menggalakkan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti berfaedah di mana hasilnya memberi nilai tambah kepada individu itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perbarisan tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan pegawai Kor Suksis universiti awam Malaysia kali Ke-14 di Dewan Tunku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata, dalam kerancakan menuntut ilmu serta berusaha untuk memperoleh keputusan yang baik, industri pekerjaan di luar sana semakin kompleks serta menyaksikan persaingan sema­kin sengit.

Sehubungan itu katanya, adalah amat signifikan untuk setiap mahasiswa mempunyai nilai tambah selain daripada kejayaan akademik.

“Pada hari ini, pentauliahan Kor Suksis merupakan antara contoh terbaik di mana ia boleh berupaya meningkatkan kebo­lehpasaran graduan selain menjadikan mahasiswa bersifat kompeten dan menyeluruh.

“Selain itu, pembentukan kemahiran insaniah, disiplin diri serta semangat patriotisme yang ditekankan dalam kurikulum Kor Suksis amat bermanfaat bagi meningkatkan kualiti para graduan di negara kita,” katanya.