Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Prof. Emiritus Tan Sri Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, daripada 17 jelajah yang diadakan setakat hari ini, sebanyak 32,000 pelajar telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke IPT.

Menurutnya, dengan baki 12 lagi jelajah termasuk di Sabah dan Sarawak, pihaknya yakin sasaran 70,000 pelajar itu dapat dicapai pada tahun ini.

“Daripada 32,000 pelajar itu, seramai 29,000 melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi yang menawarkan program teknik dan vokasional manakala selebihnya ke universiti awam.

“Bagi meringankan beban keluarga mereka, setiap pelajar yang terpilih juga akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM1,500 daripada Yayasan Bank Rakyat sebagai persiapan memasuki IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program JPB peringkat Tanjong Karang di sini hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Perseketuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Sahol berkata, sejak JPB dilaksanakan pada 2016, program itu telah berjaya mendaftarkan seramai 120,000 pelajar Melayu dan Bumiputera miskin yang tercicir, ke IPT seluruh negara. - UTUSAN ONLINE