Malah, menjadi harapan mereka supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengembalikan aliran sekolah itu jika mahu penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan dalam kalangan bumiputera.

Perunding Bahasa Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, kewujudan sekolah aliran Inggeris hanya melebarkan jurang elit dan miskin serta bandar dan luar bandar.

Katanya, apa yang penting pada waktu ini adalah peningkatan kualiti guru-guru bahasa Inggeris di sekolah-sekolah milik kerajaan.

Jelasnya, jika diizinkan penubuhan sekolah aliran Inggeris, ia hanya merupakan satu tindakan terkebelakang.

“Pada pandangan kami tidak perlu. Ini kerana dalam sistem pendidikan kebangsaan, kalau diperkuat pelajaran bahasa Inggeris, ini akan menyelesaikan masalah.

“Semua negara lain sebenarnya tidak dibolehkan pun wujud sekolah-sekolah yang berasingan. Di United Kingdom sendiri, ada peraturan yang menyekat walaupun ia sebuah negara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penerangan kajian Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI) di Wisma MPM di sini hari ini.

Yang turut hadir sebagai ahli panel ialah Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Abdul Rauf Hussin dan Felo Utama Institut Sel Fuel dan Profesor Kejuruteraan Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia. - UTUSAN ONLINE