Ahli Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Kerjaya DMJ, Mohamad Afiq Mohd. Alim berkata, mereka menyambut baik cadangan mewujudkan sebuah lagi universiti awam di negeri ini kerana dapat memberikan lebih banyak peluang anak muda melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keraguan terhadap komitmen dan matlamat sebenar penubuhan Universiti Johor itu.

“Adakah ia satu lagi lontaran janji kerajaan PH sekadar mahu memperlihatkan perancangan yang gah, sedangkan menubuhkan dan meletakkan matlamat penubuhan universiti baharu bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, semua itu juga memerlukan kos perbelanjaan serta operasi yang besar kerana untuk membangunkan universiti yang baik memerlukan pensyarah terbaik, suasana pembelajaran kondusif serta fasiliti yang baik.

Selain itu, katanya, apakah jenis universiti yang mahu dibangunkan kerana di Johor ini juga telah wujud banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta, malah di Educity turut menempatkan universiti luar negara yang ternama. - UTUSAN ONLINE