Kepentingannya tidak hanya sebagai arah tuju hidup, jimat masa dan alat motivasi, tetapi juga untuk elak menyesal di kemudian hari. Ini kerana masa hidup kita tidak mungkin dapat diulang kembali.

Mungkin inspirasi itu sejajar dengan pendirian pemegang Official Supervised International Mensa Record 2019, Shahir Anuar Shahrani, 30-an ketika ditemui Mega Rona di Wisma Persekutuan Klang, Selangor, baru-baru ini.

Beliau yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkongsi keinginan untuk terus komited mewujudkan lebih banyak inovasi dalam bidang perubatan bagi membantu pesakit.

“Inspirasi tersebut tercetus kerana saya percaya projek-projek inovasi cukup penting dalam usaha membantu pesakit menikmati gaya hidup yang lebih sihat.

“Lagipun ia sejajar dengan gaya hidup semasa masyarakat awam yang cukup erat hubungan mereka dengan alatan teknologi,” katanya yang kini ahli Mensa Malaysia.

Antara kejayaan Shahir adalah membangunkan aplikasi Warfaring Dosing HTK pada 2015 dan sehingga kini ia telah digunakan di 11 negara.

Mengulas lanjut, pemegang Ijazah Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu percaya inspirasi membantu masyarakat berupaya menjadi lebih berdaya saing jika ada bantuan daripada pihak lain yang berkaitan.

Ini kerana katanya, sesuatu rekaan atau ciptaan inovasi yang berkesan seharusnya ada gabungan idea dan pandangan pelbagai pihak berkaitan.

“Inovasi ini tidak hanya tercetus hasil pemerhatian dalam kalangan masyarakat awam, tetapi juga daripada sumbangan idea atau pandangan pihak-pihak tertentu.

“Kita akan tahu aspek kelemahan atau apa yang perlu ditambah baik agar setiap inovasi yang diwujudkan itu mampu memberi impak lebih berkesan,” katanya.

Bantuan luar

Dalam masa sama, penglibatan Shahir secara aktif dalam projek inovasi jabatan termasuk mengenal pasti rakan kerjasama strategik itu perlu dilakukan dengan segera.

Antara rakan kerjasama itu adalah Mensa Malaysia. Tetapi jalinan itu bukannya antara dua pihak yang berasingan, sebaliknya sebagai ahli berdaftar dalam pertubuhan tersebut.

“Ini kerana Mensa Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh kalangan individu yang memiliki kecerdasan otak yang tinggi,” katanya.

Mensa ditubuhkan di England pada 1946 dan pertubuhan itu menghimpunkan manusia yang memiliki tahap IQ tinggi. NGO tersebut ada cawangan di serata dunia termasuk di Malaysia. Mensa Malaysia ditubuhkan pada 1984.

Namun, usaha dilakukan Shahir itu bukanlah suatu yang mudah. Ini kerana untuk menjadi ahli NGO tersebut, beliau perlu menjalani beberapa ujian kecerdasan minda.

Keadaan menjadi lebih getir apabila beberapa minggu sebelum tarikh ujian itu, beliau dimasukkan ke hospital. Situasi tersebut menyebabkan latihan persediaan agak sukar dilakukan dengan sempurna.

“Beberapa hari sebelum tarikh ujian itu, saya dibenarkan keluar hospital. Dalam keadaan tidak berapa stabil, saya tetap hadir pada tarikh ujian tersebut.

“Saya bersyukur apabila mendapat berita bahawa keputusan ujian itu melayakkan saya menjadi ahli Mensa Malaysia. Lebih mengujakan saya dapat anugerah Official Supervised International Mensa Record 2019,” katanya.

Perlu berkesan

Kesungguhan Shahir dalam hal tersebut berbaloi. Beliau berusaha keras kerana tidak mahu impiannya membantu golongan pesakit khususnya berpendapatan rendah menikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Menurutnya, usaha tersebut tidak hanya kerana memenuhi tanggungjawab dan tugas sebagai penjawat awam, bahkan selaku hamba Allah yang mencari keredaan-Nya.

“Saya mahu yang terbaik. Bukan hanya kerana sebagai penjawat awam, sebaliknya saya turut melihat ia adalah antara kerja-kerja kebajikan yang dituntut oleh Islam,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan kejayaan dalam ujian itu bakal memberi peluang kepadanya dan jabatan untuk menjalinkan kerjasama strategik lebih erat pada masa depan.

“Saya ada banyak lagi projek inovasi untuk bantu pesakit. Untuk itu, bukan hanya bantuan daripada jabatan dan rakan sekerja tetapi juga pandangan dan bantuan pihak di luar jabatan.

“Mungkin dengan gabungan sedemikian, keberkesanan projek inovasi berkenaan tidak hanya sesuai untuk pesakit tempatan tetapi juga mereka yang berada di luar negara,” katanya.