Hamidah Ibrahim, 40, berkata, dia akan tunaikan hasrat allahyarham suaminya itu yang membuka kelas mengaji berkenaan sejak 12 tahun lalu.

“Seramai 30 daripada 200 pelajar kelas Darul Quran Bunut Payung sudah pun memulakan pengajian beberapa bulan lalu. Arwah nak sangat kelas itu menjadi pusat tahfiz.

“Walaupun arwah sudah pergi selama-lamanya, saya akan cuba penuhi impian itu dan semoga Allah SWT mempermudahkan urusan saya,” katanya.

Hamidah ditemui sempena kunjungan Pengerusi Yayasan Noor Al-Syakur (Yanas), Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di kediamannya di Kampung Paloh, di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Noor Hayati yang merupakan Puan Tengku Temenggong Kelantan menyampaikan sumbangan kewangan dan barang keperluan harian kepada Hamidah yang kehilangan suami dan dua anak serentak dalam tragedi lemas di Pantai Sri Telong, Melawi, Bachok.

Dalam kejadian petang Selasa lalu, Wan Halem, 44 dan dua anaknya Wan Muhammad Muzzamil Wan Halem, 7, serta Wan Ukkasyah lemas ketika mandi-manda. Mayat Wan Halem dan Wan Muhammad Muzzamil ditemukan tidak lama selepas itu.

Sementara itu, mayat Wan Ukkasyah ditemukan terdampar kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian pukul 6.30 pagi keesokan harinya. - UTUSAN ONLINE