Kem hujung minggu yang diadakan di Surau Kampung Baru Sungai Kerak selama tiga minggu itu lebih tertumpu kepada cara-cara dan teknik menunaikan solat termasuk solat sunat dan solat jenazah.

Kem anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kerak 1 dengan kerjasama Surau Kampung Baru Sungai Kerak dan Perpustakaan Awam Marang itu dikendalikan oleh guru-guru agama berpengalaman.

Menurut Pengerusi MPKK Sungai Kerak 1, Mohd. Azhar Adam, program itu diadakan antara lain bertujuan memberi ilmu dan mendidik kanak-kanak dengan ibadah yang dituntut oleh agama.

“Kem seperti ini merupakan aktiviti berkala di kampung ini setiap kali tiba musim cuti akhir penggal persekolahan.

“Pendekatan ini sekurang-kurangnya dapat beri manfaat kepada para pelajar selain mengelakkan mereka melakukan perkara tidak berfaedah,” katanya kepada Utusan Online selepas majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta kem berkenaan di Dewan Perpustakaan Awam Marang di sini hari ini.

Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang merangkap Pegawai Khas Pembangunan Rhu Rendang, Harun Jusoh.

Sementara itu, Harun dalam ucapannya meminta golongan ibu bapa mengguna kaedah terbaik dalam mendidik anak-anak dengan menekankan aspek kasih sayang.

“Jangan berkasar dan kerap marahkan anak-anak, sebaliknya didiklah mereka dengan nilai kasih sayang disamping terus membakar semangat dan motivasi bagi memastikan kejayaan anak-anak”, ujarnya. UTUSAN ONLINE