MASZLEE MALIK

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah drastik itu adalah untuk mengelak berlakunya masalah sijil tidak diiktiraf pihak industri seperti yang berlaku ke atas kolej vokasional.

Katanya, apabila disatukan nanti, kolej vokasional, politeknik, kolej komuniti serta rangkaian universiti teknikal lain boleh berkongsi bahan, kepakaran, alat dan hubungan dengan industri.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan akan melihat semula semua bidang di universiti sama ada perlu dimansuhkan atau ditambah seiring dengan revolusi industri 4.0.

“Justeru, kita akan memastikan (pembelajaran atau sijil) menepati standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) daripada Kementerian Sumber Manusia.

“Ini bagi memastikan pengiktirafan TVET tunggal. Kabinet juga meluluskan supaya setiap institusi TVET melahirkan graduan diiktiraf dan tidak dilambakkan di pasaran tanpa diiktiraf oleh industri,” katanya dalam menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee memberitahu, penyatuan institusi TVET juga akan memudahkan pihak industri untuk berhubung dengan kementerian, sekali gus memberi pasaran kerja kepada graduan.

“TVET akan menjadi pilihan arus perdana dan bukan lagi alternatif atau kedua selain memastikan graduannya tidak berasa rendah diri atau terpinggir,” katanya.