Menurut Irine Aqilah, kedua-
dua ibu bapanya iaitu Ahmad Kamal Abdullah, 45, yang meru­pakan Guru Besar SK Bukit Rahmat, Tangkak dan Salina Ithnin, 45, juga Guru Besar SK Kampung Raja, Muar amat mementingkan pelajaran.

“Kami tiga beradik amat beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang sangat memen­tingkan pelajaran dan sentiasa memberikan yang terbaik terutamanya dalam aspek pendidikan.

“Sebab itulah saya bersyukur kerana memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.17,” katanya ditemui selepas mengambil keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini semalam.

Dia bercadang melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia bagi merealisasikan cita-citanya untuk menjadi pakar ekonomi atau dalam bidang pertahanan suatu hari nanti.

Bagi rakannya, Haw Qian Xing, 20, usaha gigihnya belajar pada lewat malam akhirnya berbaloi apabila memperoleh PNGK 4.0.

“Secara jujur saya kurang belajar di sekolah, sebaliknya lebih banyak belajar sendiri di rumah terutamanya pada tengah malam hingga lewat pagi.

“Saya juga menjadikan kejayaan abang sulung yang berusia 27 tahun sebagai idola setelah dia turut memperoleh PNGK 4.0 sewaktu mengambil STPM dahulu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Tingkatan 6 sekolah berkenaan, Khaltom Ahmad berkata, seramai 66 calon sekolah itu menduduki STPM 2016 dengan tujuh daripada mereka memperoleh keputusan PNGK 4.0.