Kepala Sekolah, Sekolah Dasar Negeri 004, Hajah Retnowati berkata, Utusan Pelajar boleh dijadikan panduan kepada guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bersesuaian dengan dasar PAK-21 dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Malah guru sekolah ini, Cikgu Chandra Irawan yang pernah me­lanjutkan pelajaran di Malaysia sering memberikan bimbingan tentang penggunaan akhbar pendidikan di dalam kelas seperti Utusan Pelajar dan Tutor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima pemberian Utusan Pelajar daripada Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali dalam Program Kembara Sastera dan Budaya 2018 anjuran institut itu di Kepulauan Riau, Indonesia, baru-baru ini.

Utusan Pelajar diperkenalkan kepada pihak sekolah berkenaan sebagai bahan PdPc di dalam kelas yang bermanfaat kepada guru dan pelajar.

Menurut Mohd Suhaimi, maklum balas yang diterima sangat positif kerana memberikan idea kepada pentadbir dan guru sekolah di sana untuk mencuba menggunakannya di samping menjadikannya sebagai sumber bahan bacaan.

“Faktor bahasa dan budaya yang hampir sama memudahkan mereka memahami kandungan Utusan Pelajar dan seterusnya melaksanakannya dalam PdPc terutama Modul 10 Minit Perhimpunan bagi menjayakan PAK-21,” katanya.

Modul 10 Minit Perhimpunan dibangunkan hasil kerjasama Utusan Pelajar dan IPG Kampus Ilmu Khas.

Kerjasama ini menarik perhatian wakil Kepala Sekolah Bidang Kurikulum, SMK Negeri 1, Suyono kerana memberikan situasi menang-menang yang bermanfaat kepada guru dan pelajar.

“Kami pernah menerbitkan sendiri bahan seperti ini beberapa tahun lepas, namun tidak dapat diteruskan disebabkan faktor kewangan kerana tiada rakan kola­boratif yang membantu,” ujarnya.

Program Kembara Sastera dan Budaya 2018 berlangsung selama tiga hari disertai lapan pensyarah dan 27 siswa guru dengan tujuan menjalankan pelbagai disiplin penyelidikan khusus melihat persamaan bahasa yang dituturkan dan budaya Melayu yang diamalkan.