Ketua Jabatan Kecemerlangan Akademik IPGKBA merangkap penyelaras program, Laila Hairani Abdullah berkata, dengan tema Pembacaan dan Penyelidikan Pemangkin Inovasi Pendidikan ia amat relevan dalam usaha kerajaan mentransformasikan sistem pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Antara peserta yang mengambil bahagian pada  Hari Akademik dan Inovasi, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa baru-baru ini.

Katanya, tema ini dapat menjadi nadi yang menggerakkan warga pendidik khususnya pensyarah dan siswa pendidik IPGKBA untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. Justeru itu, pihak IPGKBA telah merancang dan melaksanakan Hari Akademik dan Inovasi sebagai acara tahunan.

"Pelbagai acara telah dimasukkan dalam program pada kali ini termasuklah Pameran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Kolokium Inovasi dan Pedagogi Masa Kini IPGKBA, Pertandingan Inovasi Pendidikan dan Pertandingan Inovasi Digital PdPc.

"Melalui Pameran KBAT, para pengunjung didedahkan dengan berbagai-bagai aktiviti yang berunsurkan pemupukan fikiran kritis aras tinggi oleh berbagai Jabatan dan Unit. Antara yang menarik ialah Pertandingan Pelan Bilik Darjah Abad ke 21.

"Pertandingan ini memberi ruang dan peluang bagi pelajar bagaimana mewujudkan suasana pembelajaran dalam bilik darjah yang menjurus kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan susun atur bilik darjah yang lebih dinamik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian.

Program itu telah dirasmikan oleh Pengarah IPGKBA, Dr. Nagalingam Karuppiah.

 

Menurut Laila Hairani, dalam Kolokium Inovasi dan Pedagogi Masa Kini IPGKBA, perkongsian ilmu yang dilakukan melalui sesi ucaptama dan forum ilmu telah memberi ruang kepada warga dewan untuk meneroka pelbagai perspektif baru berkaitan bidang pedagogi masa kini dan pengurusan bilik darjah yang berkesan. 

Katanya, ini termasuk merungkai kurikuluum, memahami cabaran proses pembelajaran dalam diri guru dan pelajar yang perlu ditangani untuk menghubungkait antara teori dan praktis dan penggunaan pelbagai sumber sokongan teknologi serta maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang inovatif, efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan semasa.

"Melalui forum, panel berkongsi tentang amalan terbaik bedasarkan pengalaman dan dapatan kajian masing-masing yang berjaya memberi inspirasi kepada para hadirin. Kita hendaklah berani berubah dari kepompong ‘learn helplessness’ (berkeadaan dalam zon selesa dan tidak mahu dibantu atau belajar perkara yang baru) kepada ‘learn optimism’ (berkeadaan terbuka dan mencari peluang untuk berubah) dan menggunakan strategi Pedagogi Abad ke21 untuk mengoptimumkan penglibatan pelajar.

"Secara jujurnya, kedua-dua sesi ini dilihat benar-benar menepati objektif program kali ini. Tahniah saya ucapkan kepada penceramah dan panel kita pada hari ini," katanya.

Sementara ituy katanya, pertandingan Inovasi Pendidikan merupakan aktiviti tahunan di IPGKBA yang terbahagi kepada dua kategori iaitu Inovasi Pendidikan dan Inovasi Digital PdPc.

Menurut beliau, inisiatif untuk menggalakkan penyertaan pelajar dan pensyarah dalam pertandingan telah dibuat sejak awal tahun lagi.

 

"Inisiatif bermula dengan Ceramah Inovasi Pendidikan pada 14 Januari 2019 kepada pelajar, Bengkel Pembangunan Inovasi kepada pensyarah pada 31 Januari 2019 dan Bengkel Pembangunan Inovasi kepada pelajar pada 13 April 2019," jelas beliau.

"Inisiatif pembudayaan penyelidikan dan inovasi tersebut nampaknya telah membuahkan hasil dengan meningkatnya jumlah penyertaan berbanding tahun sebelumnya. Pada 2018, seramai 69 orang pelajar dan

14 orang pensyarah yang mengambil bahagian. Pada 2019 pula, jumlah peserta Pertandingan Inovasi Pendidikan telah meningkat iaitu seramai 99 orang siswa pendidik, 28 orang pensyarah dan 2 orang pegawai khidmat pengurusan," ujar Laila Hairani.

Bagi Pertandingan Inovasi Digital PdPc pula, katanya, sejumlah 28 orang siswa Pendidik dan 16 orang pensyarah yang mengambil bahagian menjadikan jumlah keseluruhan peserta Pertandingan Inovasi Pendidikan ialah seramai 128 orang dan jumlah keseluruhan peserta Pertandingan Inovasi Digital PdPc ialah seramai 44 orang. - UTUSAN ONLINE