Arahan tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Izmi Ismail ketika mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chuping, Shariff Ishak,63, serta wakil penduduk pada 8 Mei lalu dengan alasan bahawa sekolah berusia lebih 100 tahun itu sudah tidak selamat untuk digunakan.

Perkara tersebut menimbulkan persoalan memandangkan tidak ada surat pekeliling mengenainya dikeluarkan sedangkan arahan untuk mengosongkan sesebuah sekolah itu adalah sesuatu yang serius sekali gus bakal menyusahkan murid-murid serta ibu bapa.

Sehubungan itu, Shariff menuntut agar Jabatan Pendidikan negeri segera mengemukakan surat pekeling dari Kementerian Pendidikan mengenai arahan pengosongan tersebut selain menunjukkan bukti bahawa sekolah itu sememangnya sudah tidak selamat.

Katanya, hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa pihak bertanggungjawab dalam soal tersebut awal tahun ini mendapati bangunan itu selamat untuk digunakan.

“Jadi, kami meminta agar Kementerian Pendidikan menyemak semula arahan yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan negeri itu selain mengemukakan pengesahan laporan secara bertulis daripada pihak berautoriti yang menjalankan siasatan berkaitan keselamatan di kawasan sekolah tersebut.

“Sekiranya ia benar-benar tidak selamat, pihak terbabit perlu memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan seterusnya mengeluarkan keputusan secara rasmi melalui surat pekeliling mengenai pengosongan itu.

“Pada masa ini, kami betul-betul hairan bagaimana arahan pengosongan itu hanya dibuat melalui lisan atau ‘cakap mulut’ sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersama wakil penduduk, ibu bapa serta

Persatuan Prihatin Chuping menyerahkan memorandum mengenai isu tersebut kepada Penyelaras Parlimen Padang Besar, Izizam Ibrahim untuk dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan di hadapan SK Chuping di sini hari ini.

Tambah Shariff, tindakan Jabatan Pendidikan negeri memberi arahan tanpa sebarang surat pekeliling pemindahan murid SK Chuping ke sekolah lain dengan alasan bangunan berkenaan tidak selamat bakal menyulitkan ibu bapa.

“Kebanyakan ibu bapa di lima buah kampung di kawasan Chuping ini bukan orang senang dan tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah lain yang lebih jauh,” katanya.- UTUSAN ONLINE