aja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunjukkan cara memukul bola woodball.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunjukkan cara memukul bola woodball.

Baginda yang berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan majlis perasmian Klinik Woodball UiTM Peringkat Selangor Kampus Puncak ALAM di laman bersebelahan Dewan Berlian kampus tersebut bersempena ‘Program Kayuhan Amal Tabung Mobiliti Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pagi semalam, menyarankan pelajar universiti berkenaan diberi pendedahan sukan itu yang berpotensi diperingkat dunia.

Perlis sendiri titah baginda telah berjaya melahirkan pemain woodball hebat di peringkat antarabangsa termasuk yang berada di ranking ketiga dunia.

Hadir sama mengiringi baginda pada program itu ialah Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohamad Kamal Harun.

Taklimat pengenalan woodball disampaikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis Zailuddin Ariffin dan Timbalan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), Zaharin Haris.

Klinik woodball yang pertama kali diadakan di kampus itu adalah untuk memperkenalkan lagi sukan woodball di samping mempromosikan ‘The 23rd Malaysian Open International Woodball Championship 2020’ yang akan berlangsung di UiTM Cawangan Perlis di Arau ketika Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) ke-9 berlangsung di Perlis  pada 24 hingga 30hb Julai 2020.

Dalam titah, baginda amat berharap agar selain 400 hingga 500 peserta WCWC 2020, penyertaan dalam Kejohanan Malaysian Open ini juga dapat melebihi sasaran seramai 1,000 orang peserta dari merata tempat dan negara.

Baginda turut menyarankan agar pihak UiTM memperkenalkan sukan woodball ke setiap kampus cawangan UiTM di seluruh negara dengan secara lebih meluas lagi.

Penyertaan Klinik Woodball julung-julung kalinya diadakan sedemikian rupa ini disertai oleh 125 orang pelajar dari kolej-kolej kediaman di UiTM Puncak Alam dan dikendalikan oleh Unit Sukan UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) di mana baginda sendiri merupakan Penaung Diraja persatuan.

Negeri Perlis mempunyai lebih 1,000 orang pemain woodball yang aktif dan mempunyai pelbagai pertandingan liga sepanjang tahun termasuklah Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra (Antara Jabatan), Piala Tuanku Canselor UniMAP (Sektor Pendidikan) dan Piala YDP MAIPs (Agensi-Agensi  Agama Islam). - UTUSAN ONLINE