Sebanyak 10,050 naskhah akhbar itu diedarkan kepada calon-calon UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Gelugor (SKTG) dan SK Pengkalan Jaya serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti, SMK Kampung Selamat dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Khairiah.

ADUN Permatang Berangan, Datuk Omar Abd. Hamid berkata, Tutor ba­nyak membantu pelajar terutama di luar bandar mendapatkan lebih banyak maklumat serta memudahkan mereka me­ngulang kaji di luar waktu sekolah.

Selain itu, katanya, sisipan itu juga sesuai digunakan untuk melakukan latihan tubi kerana isi kandungannya yang padat dengan silibus terkini peperiksaan.

“Tajaan kali ini adalah kesinambu­ngan daripada tajaan kita sebelum ini dan akhbar ini banyak membantu murid-murid menguasai teknik menjawab soalan peperiksaan serta menjadi alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas menyerahkan cek tajaan itu kepada Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad Wilayah Utara, Ajani Basri.

Yang turut hadir, Guru Besar SKTG, Mohd. Fuaad Ismail dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKTG, Nashrul Hisham Abdullah.

Omar menambah, beliau berharap sumbangan itu dapat memberi impak positif kepada para pelajar seterusnya menyumbang kepada kejayaan mereka dalam bidang pelajaran kelak.

“Bukanlah satu perkara yang mustahil untuk sekolah-sekolah ini mencapai kecemerlangan kerana Tutor sudah membekalkan pelbagai input terbaik seiring dengan kehendak soalan pe­periksaan sebenar,” ujarnya.