Dina Syakira Annur Azhar dan Wong Hoe Zit terpilih menyertai Program Kennedy-Lugar Youth Exchange and Study (YES) dengan tajaan sepenuhnya Kerajaan AS selepas melalui beberapa ujian saringan.

Semasa berada di negara `Uncle Sam itu’, kedua-dua pelajar berusia 18 tahun itu ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing di Indianapolis dan Oklahoma.

Dina Syakira Annur berkata, dia dan rakannya amat gembira dan berpuas hati kerana berpeluang menyertai program peringkat antarabangsa dan berada di negara tersebut.

“Banyak pengalaman diperoleh dan akan dijadikan panduan berkesan dalam pengajian saya pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia melalui aplikasi whatsApp di sini hari ini.

Dia yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara berkata, semasa program itu, dia turut menyertai jadual pembelajaran bersama pelajar setempat.

“Aktiviti khidmat sosial juga menarik kerana melibatkan masyarakat setempat tanpa sebarang perbezaan keturunan dan etnik,” katanya yang ditempatkan bersama keluarga angkat di Yukon, Oklahoma.

Menurutnya, ibu bapa angkat menerima mereka secara terbuka walaupun mengetahui pelajar datang dari pelbagai latar belakang dan sosio budaya.

Dari segi pembelajaran pula katanya, mereka boleh memliih mata pelajaran yang digemari dan mengikuti program kemahiran termasuk berkomunikasi. - UTUSAN ONLINE