Pusat Komunikasi Korporat UniSZA dalam satu kenyataan berkata, Dr. Hassan Basri menggantikan Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif yang telah tamat tempoh lantikan pada 31 Januari 2019.

Katanya, pelantikan anak jati Temerloh, Pahang itu adalah bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga 31 Januari 2022.

Berlatar belakang pendidikan dalam bahasa Arab, Dr. Hassan Basri merupakan lulusan Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Kuwait (1987) dan memperoleh Sarjana (Kesusasteraan) dari Universiti St. Andrews, Scotland (1992) di samping Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, Scotland (2000).

Di awal kerjayanya, beliau pernah bertugas sebagai penterjemah di Kedutaan Malaysia di Kuwait, pembantu penyelidik di Kuwait Zakat House, pensyarah di Universiti Malaya (UM) dari 1987 hingga 2011 sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia di Cairo University Mesir (2007-2011).

Sekembalinya ke Malaysia, Dr. Hassan Basri berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. - UTUSAN ONLINE