Program sehari bertema `inventive’ itu bermula pukul 9 pagi, mempamerkan inovasi reka bentuk dan produk teknologi percetakan terkini rekaan pelajar tahun akhir KEP, berlangsung di Gesturz 2, Kompleks Alam Bina & Reka Bentuk UiTM Kampus Puncak Alam dekat ini.

MASTURA OMAR
MASTURA OMAR 

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Percetakan UiTM, yang juga penyelia program, Mastura Omar, program penilaian dan pameran Projek Akhir Sarjan Muda diadakan oleh pelajar semestar akhir KEP pada setiap tahun bagi mempamerkan produk dan hasil kerja mereka sepanjang semester akhir kepada umum.

Beliau berkata, program ini juga bertujuan meningkatkan kerjasama akademik antara universiti dengan pihak industri, selain memantapkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

“Matlamat utama pameran ini adalah untuk melahirkan graduan yang lebih berkemahiran dalam aspek teknikal, cara menyampaikan mesej melalui visual komunikasi, aspek-aspek penting dalam berkomunikasi untuk mempengaruhi pelanggan.

“Pendedahan ini dapat meningkatkan standard graduan dan Jabatan Teknologi Percetakan yang secara relevannya, lebih berdaya saing dengan berfikiran kreatif dan amanah dalam meningkatkan mutu serta matlamat jabatan serta fakulti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mastura lagi, sepanjang program, pelajar perlu bekerjasama dan berkomunikasi dengan pelanggan mereka sebagai langkah persediaan memasuki alam pekerjaan yang sebenar.

Berdasarkan konsep `Real Life Product’, katanya, pelajar akan menjalani proses percetakan sebenar untuk mencipta produk bercetak untuk syarikat yang telah mereka pilih.

“Para pelajar bebas memilih mana-mana bidang pilihan sebagai pelanggan mereka seperti kategori makanan, perkhidmatan, kesihatan, hobi dan banyak lagi. Proses percetakan terdiri daripada tiga peringkat yang merupakan pre press, press dan post press,” katanya.

Seorang lagi pensyarah kanan di Jabatan Teknologi Percetakan yang juga penyelia bersama program, Muhammad Yusof Masod berkata, pelajar telah diberi tugasan untuk menghasilkan produk cetakan dengan memilih syarikat dan menghasilkan produk akhir berdasarkan syarikat tersebut.

“Untuk pameran ini, tema `inventive’ bermaksud gabungan inovasi dan kreatif, telah dipilih. Ia mempunyai keupayaan untuk mencipta dan menginovasi sesebuah produk cetakan. Ia juga menunjukkan bahawa pelajar bersedia menunjukkan kreativiti dan imaginasi untuk produk cetakan mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE