Ini kerana rata-rata para pelajar itu berpendapat pengalaman berpuasa di Malaysia adalah sesuatu yang istimewa kerana berpeluang menghayati budaya masyarakat Islam setempat dan rakan-rakan dari pelbagai negara. Ketika ini MMU mempunyai kira-kira 1,500 pelajar antarabangsa daripada 70 negara di tiga kampus MMU di Cyberjaya, Melaka dan Johor.

Warga Arab Saudi, Wail Zainuddin Nawi Tukacil, 20, dari Fakulti Kejuruteraan, berkata, kerinduan berjauhan daripada keluarga tercinta terubat apabila masanya banyak diisi dengan aktiviti bersama rakan-rakan di kampus.

“Ini kali pertama saya berpuasa di perantauan, jadi memang terasa rindu untuk menikmati juadah berbuka bersama keluarga tetapi alhamdulillah dengan kemeriahan program di surau, maka banyak masa saya dapat isi bersama kawan-kawan dengan aktiviti bermanfaat ,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pelajar Sarjana Sains Teknologi Maklumat, Muhammed Abdulazeez Hassan, 29, yang berasal dari Nigeria menyifatkan pengalamannya berpuasa Ramadan di Malaysia sejak 2008, sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

“Rutin saya ialah berbuka puasa, solat tarawih bersama rakan dari pelbagai negara dan latar belakang di masjid. Masa begitu pantas berlalu, namun saya bersyukur kerana berkesempatan memperbanyak membaca al-Quran,” katanya yang berhasrat untuk mengkhatamkan kitab suci itu dalam bulan Ramadan ini.

Menurut pelajar jurusan perakaunan, Nishat Sayed Abu, 22, dari Bangladesh, dia teruja menikmati pelbagai juadah berbuka tempatan yang boleh dibeli di bazar Ramadan atau jika menghadiri majlis iftar.

“Sesetengah kuih itu agak pelik tetapi sedap, inilah masa untuk kita lebih mengeratkan hubungan silaturahim serta mengenali lebih dekat keunikan Malaysia,”ujarnya.

Rakan senegaranya, S.M Fahim Shahriar Ornob, 23, berkata, tempoh berpuasa di Malaysia adalah sedikit panjang berbanding Bangladesh disebabkan kedudukan geografi.

“Tetapi kami boleh menyesuaikan diri, ditambah pula dengan pensyarah yang memahami dengan mengubah suai jadual untuk keselesaan belajar,” katanya yang bakal bergraduasi dalam jurusan perakaunan di Majlis Konvokesyen MMU Ke-19, pada September ini.

Pegawai Agama MMU, Mohd. Toha Mohamad Hasan berkata, Surau Al-Hidayah MMU mengadakan pelbagai aktiviti sempena Ramadan untuk para pelajar yang turut disertai penuntut luar negara.

“Antaranya ialah program berbuka puasa harian, Iftar Perdana MMU, ceramah Ramadan, agihan bubur lambuk, tadarus, iktikaf 10 malam terakhir dan kaunter pembayaran zakat fitrah,” jelasnya.