Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tidak timbul soal kegagalan itu berpunca daripada guru kerana secara keseluruhannya ia membabitkan semua aspek dalam masyarakat.

“KBAT yang baru dilaksanakan tiga tahun lalu turut menekankan aspek latihan kepada guru yang turut dilatih dari semasa ke semasa sebagai satu tranformasi dalam pendidikan.

“Saya teliti balik kenyataan dan baca sepenuhnya, bukan beliau (Kamalanathan) sebut kegagalan daripada guru kerana apa yang berlaku membabitkan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Piala Ahli Parlimen Padang Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan Kamalanathan yang disalah tafsir sebuah portal berita yang seolah-olah menyalahkan guru menjadi punca kegagalan KBAT.

Menurutnya, kenyataan tersebut dipesongkan seolah-olah Timbalan Menteri Pendidikan membuat kenyataan seolah-olah kegagalan KBAT adalah kerana guru.

"Ayat itu pun tak berapa kena... jadi saya nak perbetulkan sedikit di mana kita nak mendekati lagi masyarakat bukan saja murid di sekolah, ibu bapa dan semua termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) supaya semua sekali akhirnya kena faham apa yang disebut KBAT," jelasnya.