“Bukan sahaja ruang kediaman ditata hias dengan menarik, malah kita boleh menghias bilik darjah dengan persekitaran seolah-olah berada di rumah.

Ini secara tidak langsung dapat menaikkan semangat murid-murid untuk datang ke sekolah,” kata guru Bahasa Inggeris, Siti Faridah Shuib,40, merangkap guru kelas murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Batu Kawan, Pulau Pinang.

Beliau gemar berkongsi keterujaan menghias kelas bersama tenaga pengajar sekolah yang lain dengan memuat naik perkara itu dalam laman sosial. Ternyata ‘posting’ itu tular dengan mendapat perkongsian sebanyak 2,400 daripada warganet yang menjadikan konsep bilik darjah bertemakan ‘farmhouse’ menjadi suatu fenomena baharu.

Katanya, ia juga sebahagian hasil kerja bagi mengalu-alukan kedatangan murid tahun satu dan ibu bapa memandangkan ini merupakan kali pertama mereka melangkah ke alam persekolahan.

“Saya mula menghias bilik darjah sejak 2009 kerana ketika itu bermulanya tugas saya sebagai guru kelas murid tahun satu. Hampir setiap tahun dan kadang-kadang dua tahun sekali, saya menghias bilik darjah.

“Pada tahun sebelumnya, saya menghias bilik darjah bertemakan ‘rustic’ yang lebih banyak menggunakan warna coklat dengan tema kayu dan kampung. Tahun ini, saya memilih warna asas seperti kelabu gelap, hitam, hijau dan putih supaya tidak nampak terlalu serabut.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menampakkan ruang kelas kelihatan sesak dengan pelbagai campuran warna dan mahu kekal minimalis memandangkan terdapat 35 murid di dalam kelas ini,” katanya.

Beliau mengakui agak sukar untuk menentukan pemilihan warna bilik darjah dengan kebanyakannya biasanya dihias dengan warna ceria seperti kuning, oren dan merah jambu untuk membangkitkan semangat murid ketika belajar.

Siti Faridah berkata, beliau mendapat ilham daripada media sosial yang memaparkan tema dekorasi ‘rumah ala ladang’ di sekolah luar negara yang lain daripada biasa.

Ditanya tentang reaksi murid-murid terhadap dekorasi yang dihasilkan, katanya, murid selesa dan tidak menimbulkan masalah menconteng atau mengoyakkan hiasan di sekeliling mereka.

“Mungkin disebabkan mereka telah didedahkan dengan peraturan sekolah dan kelas sejak hari pertama persekolahan, itu menyebabkan mereka berdisplin,” katanya.

Lebih mengujakan, dekorasi yang diolah itu bukan sahaja menarik perhatian murid-murid, malah rakan sekerja Siti Faridah turut berbangga dengan perubahan yang dilakukan.

“Ada cikgu dari kelas lain meminta izin untuk berswafoto di dalam kelas saya, selain bilik darjah ini sering dijadikan tempat untuk mesyuarat,” tambahnya.

Selain itu katanya, beliau mengambil separuh ruang kelas iaitu bahagian belakang kelas untuk meletakkan hasil kerja murid.

Terdapat pusat murid, papan buletin, papan penilaian dan ruang yang besar untuk memuatkan hasil kerja mereka.

Di satu sudut kecil, terdapat ruang bacaan yang dihamparkan dengan rumput palsu segi empat untuk murid beristirehat. Kebanyakan buku yang diletakkan adalah ihsan daripada guru-guru yang terdiri daripada buku rujukan dan buku cerita kanak-kanak.

“Gantungan hiasan pokok palsu yang dibeli di kedai serbaneka turut menyerikan lagi bilik darjah ini.

“Bagi saya, jika kita pandai menghias, hiasan yang nampak biasa pun pasti cantik,” katanya.

Menurutnya, jika diikutkan hati, sampai sekarang beliau masih belum berhenti menghias kerana terdapat beberapa perincian yang belum dilunaskan sepenuhnya seperti jadual kelas, jadual tugasan dan kad pelepasan murid.

Dek kerana minat yang mendalam, keseluruhan kos menghias bilik darjah yang mencecah RM600 adalah dari poketnya sendiri.

“Saya cuma minta bantuan pekerja sekolah seramai empat orang untuk mengecat bilik darjah. Proses mengecat dan menghias dilakukan selama dua minggu sebelum sesi persekolahan dibuka,” katanya.