Menurut Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor John Wilson, biasiswa ditawarkan oleh syarikat, The Brooke Trust itu menampung 50 peratus yuran pengajian program untuk sekurang-kurangnya dua pelajar setahun.

Katanya, beliau menghargai pemberian biasiswa itu kerana ia memberi manfaat kepada rakyat dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.

“Permintaan bagi guru bahasa Inggeris di Malaysia dan rantau Asia meningkat tinggi kerana merupakan bahasa utama dalam perdagangan antarabangsa serta komersial.

“Swinburne berbangga menjadi rakan kongsi bersama The Brooke Trust dan teruja mendapatkan penerima biasiswa pertama itu pada tahun depan,” katanya berucap dalam Majlis menandatangani Surat Perjanjian (LOA) antara The Brooke Trust dan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini sebentar tadi.

LOA itu ditandatangani Wilson mewakili Swinburne manakala The Brooke Trust oleh Pengarahnya, Jason Desmond Anthony Brooke.

Bagi yang berminat memohon biasiswa terbabit, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web www.swinburne.edu.my/study/study-options/scholarships.php. - UTUSAN ONLINE